Daripada jumlah berkenaan, sejumlah 240 unit RMR akan dibina di Bandar Permas, Kukup, dekat sini manakala 160 unit 160 RMMJ di Sungai Burung, pekan Nanas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh berkata, RMR akan dibina di atas tapak berkeluasan kira-kira 8.40 hektar dan RMMJ melibatkan kawasan seluas 12.14 hektar.

“Bagi projek RMR proses pengambilan tanah sedang dilakukan unit Perbadanan Setia­usaha Kerajaan (SSI) di Permas sebelum kerja-kerja dapat dimulakan selepas itu.

“Pembinaan RMR dan RMMJ ini sebagaimana diumumkan Bajet Johor 2018 baru-baru ini,” katanya selepas program Berkhatan Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup siri ke-4 Mukim Rimba Terjun di Masjid Jamek Kiayi Abd. Jabbar, Kampung Rimba Terjun, di sini semalam.

Yang turut hadir, Penghulu mukim itu, Muhammad Ali Ab. Wahab, Ketua Kampung Parit Raja, Rimba Terjun, Shafie Yusof dan Pengerusi Masjid Kiayi Abd. Jabbar, Abd. Jabbar Md. Shah.

Katanya, pengumuman bajet itu memberi peluang penduduk tempatan memiliki kediaman sendiri sebagaimana janji Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika melawat Tanjung Piai baru-baru ini.

“Diharap projek perumahan termasuk rumah kedai dapat membangunkan kawasan berke­naan sekali gus memenuhi pembanguan seimbang untuk semua kawasan termasuk di luar bandar,” katanya.

Kata Suhaimi, pihaknya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memilih kawasan DUN Kukup sebagai lokasi pembinaan rumah RMR dan RMMJ kerana merupakan permintaan orang ramai.

Menurutnya, bajet itu juga terus memberikan perhatian kepada masyarakat nelayan di Kukup yang kekal memberikan sumbangan bertujuan meringankan beban kewangan mereka.

Menurutnya, bantuan RM2,000 akan diberikan kepada 600 nelayan pantai yang terjejas hasil tangkapan mereka berikutan pembangunan pesat di persisiran pantai Johor ketika ini.

“Bantuan yang diterima sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri tentu melegakan mereka bagi membuat persiapan untuk keluarga masing-masing sepertimana pada tahun lalu,” ujarnya.