Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Wa­risan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, festival yang julung kali diadakan itu bertujuan menghimpunkan, berkongsi ilmu dan pengalaman, selain menyemai semangat jati diri penggiat dan penari zapin dari ketiga-tiga negara.

Menurutnya, penganjuran festival oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu juga bertepatan dengan hasrat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled untuk menjadikan Johor sebagai Hab Kota Budaya dan Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa.

“Johor dikenali umum sa­ngat kaya dengan khazanah seni budaya, sejarah dan tamadun silamnya. Warisan seni budaya yang tinggi nilainya ini wajar dikongsi bukan sahaja di dalam negara, malah di seluruh pelosok alam Melayu dan kepulauan rantau Melayu," katanya di sini, hari ini.

Zulkurnain menambah, festival bercirikan produksi muzikal tari itu memilih tema Zapin Rumpun Melayu pada kali ini dan akan dijadikan program tahunan bagi memartabatkan seni warisan Melayu tersebut.

Jelasnya, penganjuran program sedemikian diharap dapat membina platform bagi penggiat seni antarabangsa berkongsi ilmu dan pengalaman, selain menyemai aspirasi serta rasa cinta terhadap seni budaya bangsa.

Setakat ini, Johor mengiktiraf 18 tarian zapin dan ada daripadanya akan dipersembahkan kepada kira-kira 10,000 pengunjung festival tersebut yang diadakan secara percuma.

Sementara itu, penggiat zapin dari Singapura, Som Mohd. Said berkata, walaupun republik itu baharu diperkenalkan dengan seni tarian berkenaan pada 1950-an, namun mereka mempunyai lebih 10 jenis tarian zapin.

Bagi penggiat zapin dari Indonesia, Tom Ibnur pula menjelaskan, negaranya mempunyai puluhan tarian zapin dengan setiap kepulauan, daerah dan kampung mempunyai jenis masing-ma­sing.