Setiap murid menerima sepasang pakaian seragam, kasut, beg sekolah dan alat tulis bagi meringankan bebanan ibu bapa mereka.

Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, para pene­rima dipilih oleh pihak sekolah masing-masing yang merangkumi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/SJKT).

“Bantuan ini merupakan salah satu program khidmat masyarakat pihak UEM Group kepada golo­ngan yang memerlukan tanpa me­ngira kaum dan fahaman politik,” katanya selepas merasmikan program Back To School UEM Group Parlimen Labis di Dewan SJKC Chaah, di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap supaya ini­siatif UEM Group itu dicontohi oleh syarikat-syarikat lain dalam usaha membantu golongan berpendapatan rendah selari dengan hasrat kerajaan untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.

Seorang ibu, K. Sathiawani, 43, gembira kerana dua anaknya yang berusia lapan dan 11 tahun terpilih menerima bantuan tersebut dan mampu meringankan bebanan keluarganya.

“Dengan bantuan ini, saya dan suami tidak perlu lagi memikirkan perbelanjaan pakaian sekolah anak-anak, sebaliknya hanya menyediakan wang untuk membeli buku,” katanya.

Bagi Zahdatul Akmal Mohd. Zin, 32, dari Kampung Sawah Baru, dekat sini bersyukur walaupun hanya seorang daripada tiga anaknya yang bersekolah terpilih menerima bantuan tersebut.

“Bantuan ini memang membantu meringankan beban saya dan suami yang merupakan seorang pekebun kecil untuk membeli kelengkapan persekolahan anak-anak apatah lagi ketika mu­sim tengkujuh sekarang.

“Bagi mereka yang berkemam­puan jumlah sumbangan yang dihulurkan ini mungkin tidak besar, namun bagi kami yang berpendapatan rendah sumbangan ini besar maknanya,” katanya.