KOTA TINGGI 11 April - Seramai 360 generasi kedua Felda Sungai Sibol dan Felda Penggeli Timur, dekat sini menerima kunci rumah dalam satu majlis di Dewan Semai Bakti Felda Sungai Sibol, di sini baru-baru ini.
Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Abdul Rahman Ahmad berkata, penerima itu seramai 180 orang adalah dari Felda Penggeli Timur dan Felda Sungai Sibol.
“Mereka dijangka boleh berpindah ke rumah baharu berkenaan dalam tempoh tiga minggu selepas selesai urusan pemasangan bekalan elektrik dan air,” katanya dalam majlis yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Mohammed Ridha Abd Kadir.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang juga penyandang kerusi Parlimen Tenggara; penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Datuk Baderi Dasuki dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Fizwan Rashidi.
Abdul Rahman berkata, terdapat lima projek perumahan generasi kedua sedang dibangunkan di Felda Wilayah Johor Bahru, termasuk di Felda Sungai Sibol dan Felda Penggeli Timur.
“Selepas ini, seramai 200 orang di Felda Inas bakal menerima kunci rumah yang dijangka siap sepenuhnya pada Jun ini dan sekarang kita dalam proses memilih penerima yang layak untuk mendiami rumah tersebut,” katanya.
Beliau berharap generasi kedua yang tinggal di tanah rancangan Felda dapat terus berbakti memandangkan kebanyakan peneroka sudah berumur 60 tahun ke atas.
“Jika kita hendak membangunkan gerakan ekonomi tanah rancangan ini, golongan muda sememangnya amat diperlukan,” tegasnya.