Majlis penyampaian elaun sara hidup secara tunai itu diadakan sekitar Tasik Sembrong yang disempurnakan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Munir Mohd Nawi.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar; Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Mohd Anim Hosnan dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang,Hamzah Bahari.

Berucap pada majlis itu, Munir berkata, pada 2017 kerajaan menyalurkan bayaran sara hidup sebanyak RM95,000 yang melibatkan 306 komuniti nelayan darat sepanjang tahun lepas.

Selain bantuan tunai, katanya, kerajaan turut menyediakan bantuan ‘Touch Point’ seperti peralatan menangkap ikan dan traktor.

“Pada hari ini nelayan bakal menerima bantuan tambahan berupa jaring bagi membantu mereka menangkap ikan dengan melibatkan 40 orang daripada Batu Pahat dan Kluang.

“Berdasarkan pelbagai program dilaksanakan dan jumlah yang menerima manfaatnya, jelas menunjukkan keutamaan kerajaan adalah berusaha membantu masyarakat nelayan serta golongan sasar meningkatkan taraf hidup dan mendapat faedahnya,” katanya sempena Program Pelepasan Benih Ikan dan Penyerahan Bantuan “Touch Point” di sini hari ini.

Sementara itu, rata-rata menyifatkan bantuan itu merupakan sesuatu yang sangat dihargai berikutan ketiadaan sumber pendapatan kerana masalah air cetek.

Ali Osman ,56 , berkata, dia menyanjung tinggi usaha murni kerajaan membayar wang ehsan kepada nelayan sepertinya sekali gus meringankan bebannya.

“Saya dapat belilah barangan dapur serba sedikit, sebab hendak mengharapkan tangkap ikan semata-mata susah juga,” ujarnya.

Senada dengannya, Ahmad Syahid, 33, dia terhutang budi kepada kerajaan atas bantuan itu dan tidak pernah berhenti menghulurkan bantuan.

“Terima kasihlah atas bantuan yang diberikan, syukur sangat-sangat,” katanya. - UTUSAN ONLINE