TAN HONG PIN

Pengerusi Jawatankuasa Ke­rajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, setakat ini, sebanyak 326 lokasi pembuangan sampah haram telah dikenal pasti dan daripada jumlah itu, 48 lokasi dikesan masih aktif.

Menurut beliau, hampir 80 peratus tempat pembuangan sampah haram itu berada di kawasan bandar iaitu di bawah tanggungjawab Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

“Sebagai pemilik tanah, mereka perlu bertanggungjawab untuk memastikan tanah mereka tidak digunakan sebagai tempat pembuangan sampah haram atau berdepan tindakan,” katanya da­lam sidang akhbar di Pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor di sini, hari ini.

Hong Pin berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan masalah tersebut dapat dibanteras kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada pencemaran, malah turut me­nyakitkan mata mereka yang meman­dang.

Beliau turut menyeru kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung masalah itu agar merujuk kepada SWCorp atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sehubungan itu, Hong Pin akan berjumpa dengan pihak berkaitan termasuk kontraktor bagi berbincang un­tuk mencari jalan bagi mengatasi masalah tersebut supaya situasi menang-menang dapat dicapai.

Beliau menambah, isu membabitkan pengurusan sampah itu menjadi antara perkara yang akan menjadi keutamaannya dalam tempoh lima tahun akan datang sejajar dengan usaha menjadikan Johor Bahru sebagai bandar raya bertaraf antarabangsa.