Pegawai Pendidikan daerah, Zainal Buang berkata, sumba­ngan sebanyak RM46,875 daripada Yayasan Muafakat Pontian itu akan diagih-agihkan kepada 17 buah sekolah menengah yang mempunyai calon-calon bagi peperiksaan tersebut.

“Penglibatan Yayasan Muafakat Pontian adalah selari de­ngan anjakan kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, iaitu kerjasama dengan ibu bapa, komuniti setempat dan pihak swasta,” katanya pada Program Cakna Muafakat Calon-calon SPM, STPM dan STAM 2017 di Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Perhentian, di sini kelmarin.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Yayasan Muafakat Pontian, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Ke­majuan Luar Bandar dan Wilayah negeri.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Kamaluddin Jamal; Pengerusi Maj­lis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM), Arbain Miswan dan Pengetua SMK Sri Perhentian, Abdul Rahman Salleh.

Zainal berharap sumba­ngan itu dapat memberikan impak kepada calon-calon supaya tidak lagi memikirkan tentang perbelanjaan makan dan minum sepanjang tempoh tersebut.

“Kami berharap mereka bersedia dari segi mental, fizikal dan emosi bagi menghadapi peperiksaan penting yang akan menentukan hala tuju mereka pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Hasni berharap lebih ramai pelajar di daerah ini akan memperoleh keputusan cemerlang dalam ketiga-tiga peperiksaan tersebut.

Menurutnya, bidang pendidikan sentiasa diberikan keutamaan oleh Yayasan Muafakat Pontian termasuk mengadakan program 'Kembali ke Sekolah’ selain memberi bantuan kepada pelajar-pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.