Kesemua jemaah berlepas menggunakan penerbangan KT46 pada 5.45 petang dan dijadual tiba di Jeddah pada 9.35 malam waktu tempatan.

Yang turut mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji berke­naan ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Mutalip Abd. Rahim dan Speaker Dewan Undangan Nege­ri (DUN), Tan Sri Mohamad Aziz.

Abdul Mutalip turut menasihati para jemaah supaya menjaga nama baik negara dan negeri dengan mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Sementara itu, seorang jemaah, Ahmad Mohd. Ali, 65, bersyukur dipilih menu­naikan ha­ji dengan rombongan keraja­an negeri walaupun terpak­sa menggunakan berkerusi roda.

Dia yang berasal dari Felda Layang-Layang, Kluang mengakui telah menyimpan wang selama lima tahun hasil penat jerih sebagai peneroka.

“Saya terpaksa berke­rusi roda kerana masih tidak kuat berjalan akibat serangan strok pada tahun 2013.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang menerima permohonan saya sejak 2011 untuk mengikuti rombongan haji ini. Kalau ikutkan giliran, saya dijadual menunaikan haji pada 2030,” katanya yang ditemani isteri, Rusnani Johar, 60.

Juruhebah radio Johor FM, Saufi Nawawi, 29, pula teruja dapat menunaikan haji sambil membuat liputan berkaitan ibadat berkenaan.

“Saya mengharapkan doa daripada semua pihak supaya dapat beribadat dengan tenang dan dijadualkan pulang pada 26 September depan.

“Insya-Allah saya akan me­nyampaikan perkembangan semasa ibadat haji yang disiar menerusi Johor FM pada pukul 2.15 petang dan 9.45 malam setiap hari,” katanya.