Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd. Mutalip Abd. Rahim berkata, sebelum ini pihak­nya dimaklumkan hanya terdapat 15 pusat tahfiz yang belum berdaftar, namun berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak bomba di beberapa buah sekolah tahfiz mendapati ada sekolah tertentu tiada langsung dalam maklumat pihaknya.

“Taklimat pagi tadi pun, saya dimaklumkan yang sebelum ini terdapat 15 sekolah namun sudah bertambah angka menjadi 25 yang tidak berdaftar. Kebanyakannya mereka ini bergerak (beroperasi) kita tidak tahu. Banyak maklumat tertinggal oleh keluarga dan yang sudah tidak mahu mewarisi rumah itu.

“Jadi, dia serahkan kepada individu tertentu untuk diusahakan dan kita akan bincangkan perkara ini dalam mesyuarat penye­larasan tindakan mengenai isu madrasah tahfiz dalam tempoh terdekat termasuk maklumat yang diperoleh melibatkan masalah pendawaian yang sememangnya tidak boleh diduduki,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Ba­ngunan Wakaf Angkatan Ko­perasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) kepada MAINJ, di sini hari ini.

Menurutnya, MAINJ akan me­ngambil tindakan supaya se­mua pengusaha sekolah mema­tuhi semua peraturan yang di­tetapkan, khususnya meminta me­reka berdaftar supaya bantuan dapat diberikan termasuk membaik pulih ba­ngunan sekolah berkenaan.

Abd. Mutalip berkata, pihak­nya juga akan menimbangkan untuk menyelaraskan dan menyu­sun sistem Jaminan Kualiti Tahfiz Johor (JTQA) yang akan diguna pakai di sekolah tahfiz di negeri ini termasuk memberi tempoh tertentu bagi pengusaha mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Jelasnya, jika terdapat pengusaha tidak mematuhinya dalam tempoh yang diberikan, pusat tersebut mungkin boleh diarah tutup.