Timbalan Ketua Polis nege­ri, Datuk Mohd. Zakaria Ahmad berkata, program tersebut bertujuan mendekati dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat Orang Asli di negeri ini, sekali gus membuktikan etnik berkenaan tidak pernah dipinggirkan malah sentiasa diberi perhatian.

“Selain memberi pengalaman kepada peserta mendekati serta menyelami gaya hidup dan permasalahan masyarakat Orang Asli kami juga memberi pendedahan kepada pen­duduk setempat mengenai tugas dan peranan pihak polis dalam menjaga keama­nan negara,” ka­tanya ketika melawat Balai Polis Bekok yang merupakan sebahagian daripada program selama dua hari di perkampungan Orang Asli Kudung, di sini.

Dalam program berkenaan, pelbagai acara dijalankan termasuk aktiviti gotong-royong, lawatan ke rumah penduduk, pameran dan acara kebudayaan Orang Asli.

“Menerusi program ini diharapkan mampu mengikis stigma takut kepada pihak polis dalam kalangan masyarakat Orang Asli, sekali gus menjalin kerjasama lebih baik antara kedua-dua pihak pada masa akan datang.

“Jika kita lihat, kadar jenayah yang melibatkan Orang Asli di negeri ini adalah rendah dan saya dapati sebarang masalah yang timbul dapat ditangani serta diselesaikan oleh tok batin mereka tanpa melibatkan pihak polis kecuali kes jenayah tertentu,” katanya.