Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa, Chan Chong Kuok, 51, dan Tan Soon Heng, 35, sedang giat dijalankan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan bantuan agensi lain.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata, operasi SAR itu diaktifkan sejurus menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada Abu Bakar Maritime Base (ABMB).

Menurutnya, maklumat diterima mengatakan ABMB melihat sebuah bot karam bersama dua mangsa yang sedang berpaut pada bot itu.

“Sejurus menerima maklumat, sebuah bot peronda Maritim Malaysia digerakkan ke kawasan itu bagi membantu menyelamatkan mangsa. Namun, apabila tiba di lokasi didapati bot itu telah karam dan dua mangsa yang dilaporkan berpaut pada bot tersebut juga gagal dijumpai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE