Pengerusi Jawatankuasa Kerja Ra­ya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, projek naik taraf itu dilaksanakan menggunakan per­untukan kerajaan Pusat seperti yang dibentangkan dalam Bajet 2018.

Menurutnya, peruntukan yang diberi adalah untuk membaik pulih sekolah terpilih seper­ti bumbung bocor, lantai rosak, dinding berlubang, baik pulih tandas dan peralatan yang sudah lama tidak berganti.

“Pelaksanaan projek naik taraf itu dibuat dalam dua fasa dengan fasa pertama, sebanyak 17 sekolah di negeri ini dipilih untuk dibaik pulih dan fasa kedua akan bermula tahun depan,” katanya selepas majlis Menandatangani Penyerahan Dokumen Kontrak dan Projek Pembinaan Semula dan Menaik Taraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah IBS (Fasa 1) 2018, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kerja Raya negeri, Ir. Mohamad Salleh Abu Bakar dan Ketua Sektor Khidmat Pengurusan dan Pem­bangunan Jabatan Pendidikan negeri, Normazura Mat Nawi.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, 17 sekolah itu terletak di enam daerah melibatkan 95 bilik darjah dan 11 blok tandas dengan tempoh pembinaan disasarkan selama tiga hingga empat bulan.

Beliau berkata, pembinaan pro­jek itu akan menggunakan kaedah sistem industri bangunan (IBS) yang mampu disiapkan dalam tempoh lebih singkat berbanding kaedah konvensional.

“JKR adalah selaku agensi pelaksana memikul amanah rak­yat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan supaya projek disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan tepat pada masa yang ditetapkan,” katanya.