Ketuanya, Abdul Aziz Omar berkata, serbuan itu dilakukan selepas menerima aduan daripada Business Software Alliance (BSA) mengenai kegiatan cetak rompak perisian komputer pada 13 dan 14 September lalu di Pekan Nanas dan Pontian Jaya.

Dalam serbuan pertama terhadap sebuah syarikat perkhidmatan pembinaan di kawasan perindustrian Alam Jaya, Pekan Nanas, pihaknya merampas sembilan perisian cetak rompak yang digunakan dalam aktiviti rekaan dan pengurusan syarikat.

“Serbuan kedua pula di sebuah syarikat alat ganti dan pembinaan di Pontian Jaya yang menggunakan lapan perisian ce­tak rompak dalam urusan seni reka bangunan yang diha­silkan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurutnya, perisian cetak rompak mudah diperoleh kerana kebanyakannya boleh didapati menerusi dalam talian.

“Kita tidak pernah berkompromi dengan mana-mana syarikat yang menggunakan perisian cetak rompak kerana menerupakan kesalahan di bawah Akta Hak Cipta,” katanya sambil memaklumkan kedua-dua pemilik syarikat berusia lingkungan 40-an dan 50-an akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Katanya, pemilik syarikat ber­kenaan boleh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) (d) Akta Hak Cipta 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesa­lahan.

Dalam pada itu Abdul Aziz memberitahu, sebanyak 18 kes telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan melibatkan rampasan sebanyak RM223,865 dan kompuan RM7,400 bagi tempoh Januari hingga kini.

Menurutnya, kes paling tinggi direkodkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan merangkumi kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan menggunakan alat penimbang yang tidak ditentusahkan.