Ini berikutan sebahagian besar daripada penduduk tidak mempunyai status rasmi pemilikan tapak rumah meskipun rata-ratanya merupakan peneroka awal tanah di lot 49259 kampung berke­naan.

Wakil penduduk, Mohd. Dah­lan Dasop, 64, berkata, kerisauan penduduk bermula apabila berlakunya kegiatan pembersihan tanah oleh satu syarikat pemaju yang mendakwa mempunyai hak pemilikan kepada sebahagian tanah kampung itu pada bulan lalu.

“Bila kami lihat ada kende­raan berat meratakan tanah, kami mula bimbang tambahan pula tiada sebarang makluman diberikan oleh pihak berkenaan dan apa tujuan mereka berbuat demikian.

“Jadi kami sendiri pergi mencari maklumat, rupanya mereka ini merupakan pemilik kira-kira 8.9 hektar tanah di kawasan ini,” katanya di sini semalam.

Katanya, penduduk kampung yang bertemu pemaju dimaklumkan kawasan itu hanya dibersihkan terlebih dahulu tetapi tidak menggangu rumah penduduk.

Katanya, kerajaan terdahulu pernah menyatakan peranca­ngan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada penduduk kawasan itu, namun tiada sebarang susulan telah dibuat.

“Kami berharap kerajaan pada hari ini dapat membuat pertimbangan agar membuka satu petempatan semula kepada penduduk sekiranya tidak boleh memberikan status pemilikan tanah di kawasan itu,” katanya.

Menurut Mohd. Dahlan, satu memorandum khas telah diserah­kan kepada Pejabat Menteri Besar menerusi Pegawai Khas Menteri Besar Bahagian Pengaduan Awam, Syed Othman Abdullah.

Sementara itu, Syed Othman berkata, pihaknya turut menzahirkan kekesalan berkenaan perkara itu kerana penduduk langsung tidak menerima sebarang notis atau butiran rasmi daripada pemaju yang ingin menjalankan pembangunan di kawasan terbabit.

“Perkara ini akan diajukan kepada Menteri Besar untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk kawasan ini.

“Saya berharap pemaju juga dapat menghentikan sementara kerja-kerja pembersihan yang dilakukan sehingga mereka me­ngadakan pertemuan rasmi bersama penduduk di sini,” katanya.