Pegawai PPD Pontian-Kluang, Ahmad Rahim Senawi berkata, penerima anugerah tersebut terdiri daripada seorang Pengurus Kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), lapan anggota lantikan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan enam lantikan PPK.

Menurutnya, terdapat empat buah PPK di daerah Pontian dan dua PPK di Kluang dengan pemasaran kelapa sawit merupakan aktiviti utama mereka yang dilengkapi dengan pusat timbang sendiri.

“Pada tahun 2017 PPK menca­tat hasil sebanyak RM55 juta de­ngan keuntungan sebanyak RM1.7 juta apabila berjaya memasarkan kelapa sawit kira-kira 90,000 tan metrik,” katanya dalam majlis penyampaian APC tersebut.

Majlis tersebut disempurnakan oleh penyandang kerusi Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Yang turut hadir, Pengarah LPP negeri, Abdul Jalil Bukhairah dan Pengerusi Peladang Nita ne­geri, Zarina Mohamed Bain.

Ahmad Rahim berkata, pihaknya sedang merangka pelbagai program bagi menambah pendapatan ahli-ahli peladang yang turut disaran supaya melibatkan diri dalam aktiviti hiliran yang berdaya maju, antaranya dalam sektor pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ternakan ayam mahupun peruncitan.

Sementara itu, Ahmad Maslan dalam ucapannya berkata, pertanian merupakan salah satu sektor ekonomi terpenting kerana merupakan pembekal makanan dan sumber bahan mentah kepada penduduk bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.

Menurutnya, dalam Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, sebanyak RM6.5 bilion peruntukan diberikan bagi sektor pertanian.

“Ini menunjukkan kerajaan tidak meminggirkan sektor pertanian agar kemajuan dan pembangunannya dapat memenuhi bekalan makanan untuk negara,” katanya.