Seorang penerima, B. Narendaran, 35, menerima tuntutan bayaran RM32,592 setelah terlibat kemalangan motosikal ketika dalam penjalanan pulang dari tempat kerja hingga mengalami patah kaki kanan pada 11 November tahun lalu.

Katanya, tuntutan bayaran bagi faedah hilang upaya kekal itu akan digunakan untuk menjalankan pembedahan mengeluarkan plat besi di kaki yang patah itu serta menjalani fisioterapi.

“Dengan duit yang ada ini, saya bercadang untuk guna bagi menjalani pembedahan mengeluarkan plat besi di kaki yang patah setelah mula rasa sakit. Untuk pembedahan ini, saya perlu biaya sendiri dan tidak ditanggung majikan seperti pembedahan ketika kemalangan.

“Selebihnya, saya akan menyimpan sedikit untuk kegunaan masa depan, sebahagiannya digunakan untuk me­nyambut perayaan Deepavali yang akan tiba selain digunakan untuk menampung perbelanjaan ibu bapa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, A. Saroojak, 44, yang menerima pencen ilat sebanyak RM2,000 bagi pihak mendiang suami yang meninggal dunia pada 19 Oktober lalu berhasrat menyimpan wang yang diterima untuk kegunaan ketika memerlukan.

“Saya tidak bercadang untuk menggunakan duit itu buat masa ini. Per­belanjaan rumah kini ditanggung oleh dua anak saya yang sudah bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Perkesko ne­geri, Tong Sing Chuang berkata, bagi tempoh Januari hingga September lalu, pihak­nya telah memproses 21,683 kes melibatkan pemberian tuntutan kira-kira RM66.4 juta.

“Kita juga telah mengeluarkan sebanyak 117 kompaun ke atas majikan yang lewat membuat laporan kemalangan, lewat daftar perusahaan dan lewat daftar pekerja dari Januari hingga September lalu,” ujarnya.