Apatah lagi, majoriti pe­kebun kecil yang ber­daf­tar dengan Koperasi Pe­ke­bun Kecil di daerah masing-ma­sing itu hanya mengharap­kan sumber kelapa sawit sebagai mata pencarian untuk menampung kehidupan mereka.

Rata-rata mereka menyifatkan arahan penutupan selama tiga bulan itu terlalu lama kerana sejak berpuluh tahun lalu, kilang terbabit menerima kira-kira 5,000 tan metrik tandan kelapa sawit segar sebulan daripada pekebun berkenaan dengan nilai mence­cah RM2.5 juta.

Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Batu Pahat, Dr. Ha­yati Md. Salleh berkata, hanya untuk tempoh satu hari sahaja selepas kilang tersebut diarahkan tutup kelmarin, sudah terdapat lambakan sebanyak 200 tan metrik kelapa sawit direkodkan di pusat-pusat pengumpulan.

“Masalah yang dihadapi pekebun-pekebun kecil di tiga daerah ini adalah sama iaitu kilang tersebut adalah satu-satunya tempat kami menjual komoditi tersebut selepas meraih daripada pekebun kecil.

“Sekiranya kilang itu ditutup selama tiga bulan, tidak dapat dipastikan bagaimana kami mahu meraih kelapa sawit da­ripada pekebun lagi kerana tidak ada kilang lain yang mahu menerima dalam kuantiti yang besar,” katanya dalam si­dang akhbar di sini semalam.

Yang turut hadir, Se­tiausaha Koperasi Pe­ke­bun Kecil Daerah Klu­ang, Rahim Hasim dan Bendahari Koperasi Pe­kebun Kecil Daerah Pontian, Eqhwan Zakaria.

Akhbar ini semalam melaporkan, sebuah ki­lang di Jalan Batu Pahat, Kluang berdepan denda RM250,000 kerana disyaki menyebabkan pencemaran ammonia di Sungai Amran dan Sungai Sembrong Barat hingga mengakibatkan 250,000 penduduk terjejas bekalan air.

Hayati berkata, pihaknya memahami arahan penutupan tersebut namun meminta pertimbangan sewajarnya daripada pihak berwajib agar dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera.

“Daripada segi kesalahan pihak kilang kami tidak boleh campur, tapi kami amat berharap penutupan tersebut tidaklah sehingga awal tahun hadapan kerana yang terjejas teruk adalah pekebun kecil,” katanya.