Rumah yang dibina oleh Johor Land Berhad (JLand), syarikat Kumpulan Johor Corporation (JCorp) itu merupakan rumah projek skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) pertama di Malaysia yang siap dibina dan dise­rahkan kepada pemilik.

Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, kerja-kerja pembinaan rumah yang dibina di atas tanah seluas kira-kira 6.6 hektar itu dimulakan pada Ogos 2014 membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM172 juta.

“Kos pembinaan bagi setiap rumah bernilai RM170,000 tetapi kami beri subsidi untuk harga jualan sebanyak RM99,000 seunit. Kerajaan pula memberi subsidi sebanyak RM30,000 seunit membolehkan pembeli hanya perlu membayar RM69,000 seunit.

“Pangsapuri ini berstatus hak milik kekal dan mengandungi 254 unit rumah bagi setiap blok. Setiap unit pula mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan serta dapur yang dilengkapi kabinet dapur serta kemasan jubin di setiap bilik dan ruang tamu.

“Terdapat juga beberapa kemu­dahan awam yang disediakan, antaranya dewan komuniti, tadika, surau, lif, taman riadah, tempat letak kereta berbumbung, selain 16 unit rumah untuk orang kurang upaya (OKU),” katanya dalam maj­lis penyerahan kunci Skim MyHome di sini.

Yang turut hadir Ketua Setia­usaha Negara yang juga Timbalan Pengerusi Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani serta Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, K. Jayaselan.

Dalam pada itu Kamaruzzaman berkata, menyedari permintaan tinggi terhadap unit-unit rumah kos rendah dan mampu milik, JLand sedang dan akan membina lebih banyak rumah melibatkan beberapa kawasan di Iskandar Malaysia dan beberapa lokasi di luar Johor Bahru.

Katanya, syarikat juga telah mengunjurkan pembinaan sejumlah 8,087 unit rumah mampu milik yang bakal disiap menjelang tahun 2025.