Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha berkenaan bagi mengenal pasti kemudahan yang diperlukan di terminal tersebut.

Menurutnya, lima terminal feri utama yang menghubungkan Johor ke Indonesia dan Singapura, ialah Jeti Stulang Laut di Johor Bahru, Jeti Pasir Gudang, Jeti Tanjung Pengelih dan Jeti Tanjung Belungkor (Kota Tinggi) serta Jeti Puteri Harbour (Nusajaya).

“Jeti-jeti ini (kecuali Jeti Puteri Harbour) telah lama dibina pada asalnya bertujuan menampung kapasiti pekerja yang berulang-alik (dari ketiga-tiga negara).

“Seiring dengan perkembangan pesat negeri ini yang sedang menuju menjadi sebuah negeri bertaraf antarabangsa pada 2017, maka fungsi jeti terbabit telah berubah apabila menjadi pengangkutan utama pelancong ke negeri ini. Jadi, kita akan akan adakan perbincangan dengan pengusaha bagi menaik taraf keperluan sedia ada untuk kegunaan jangka panjang,” katanya.

Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata demikian dalam sidang akhbar selepas tamat program Explore Johor ke Batam, Indonesia, di sini kelmarin.

Beliau berkata, cadangan untuk menaik taraf jeti tersebut disuarakan oleh persatuan pelancongan Batam, antaranya Persatuan Kaum Tiong Hua Batam yang menuntut terminal feri bertaraf antarabangsa dibangunkan di kesemua terminal menghubungkan Indonesia-Johor.

Antara cadangan yang dibangkitkan termasuk membina kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) termasuk tandas, pejalan kaki dan beberapa kemudahan yang sewajarnya.

“Pada masa ini, kita belum menetapkan berapa nilai kos, sama ada akan ditanggung kerajaan ne­geri mahupun pengusaha. Kita akan adakan perbincangan terlebih dahulu,” katanya.

Berdasarkan rekod dari Januari sehingga Ogos lalu, seramai 460,000 penumpang menggunakan perkhidmatan feri di kelima-lima jeti berkenaan.