Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, langkah proaktif tersebut sebagai usaha untuk mengalihkan tumpuan China yang terjejas dengan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) ke pasaran Malaysia.

Kata beliau, pihaknya sudah mengadakan beberapa kunjungan ke China sejak tiga bulan lalu dan mengadakan perbincangan dengan kira-kira 10 buah syarikat daripada pelbagai sektor untuk melabur di Johor.

“Kerajaan negeri faham situasi terkini perang perdagangan antara AS dengan China. Dengan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) yang dicatatkan, kita agresif membuat tindakan susulan untuk menarik lebih banyak pelabur dari China.

“Kali ini kita lebih fokus kepada sektor pembuatan sebab sektor ini paling terkesan daripada kenaikan tarif berpunca daripada perang dagangan dengan AS. Kini, kita dalam peringkat perbincangan dan saya yakin pada hujung tahun ini kita akan nampak hasilnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Misi Perdagangan ke Guangzhou bersama Dewan Perniagaan Cina Johor Bahru (JBCCI) di Bangunan JBCCI Taman Tasek, di sini hari ini.

Wee Tse berkata, misi dagangan yang dilakukan sejak Mac lalu membawa maklum balas positif apabila banyak syarikat berminat untuk memindah sebahagian kilang ke negeri ini yang mempunyai kemudahan dan infrastruktur lengkap serta kedudukan logistik strategik berhampiran Singapura.

“Perang perdagangan itu salah satu faktor utama yang menyebabkan syarikat-syarikat di China mahu mengalih risiko. Jadi mereka mungkin berfikir untuk memindah sebahagian kilang keluar dari China, jadi kenapa tidak Johor?

“Sejak beberapa bulan ini juga, memang banyak pertanyaan daripada syarikat luar yang berminat untuk melabur, cuma kita tolong mereka mencari tapak sesuai dan kelulusan agensi-agensi,” katanya. - UTUSAN ONLINE