Pengarah Urusan Digital Johor Sdn. Bhd. (DJSB), Datuk Abdul Wahab Abdullah berkata, Johor 4.0 itu merupakan satu insiatif bagi merangsang ekonomi nege­ri ini menggunakan pendekatan digital.

Menurutnya, inisiatif tersebut akan dilaksanakan berdasarkan satu kerangka yang mengandungi lapan teras utama dalam pelbagai sektor yang akan dibangunkan dalam tempoh lapan tahun.

“Selain merancang untuk mendigitalkan negeri Johor ini, pelancaran Johor 4.0 itu juga bagi memacu Revolusi Industri Keempat (4IR) yang diyakini dapat membantu memakmurkan ekonomi rakyat selain memastikan Johor menjadi sebuah negeri yang maju dan kekal di hadapan.

“Bagi menjayakan usaha tersebut, DJSB, anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak termasuk sektor swasta,” katanya di sini hari ini.

Majlis Pelancaran 4.0 dijadual disempurnakan esok oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Sempena majlis pelancaran itu, Karnival Digital Johor 4.0 - Mendigitalkan Bangsa Johor yang disertai 15 agensi turut diadakan selama dua hari bermula hari ini di Kompleks Sukan Educity, di sini.

Abdul Wahab berkata, mene­rusi Johor 4.0, pelbagai peluang bagi rakyat negeri ini bakal diwujudkan terutamanya kepada generasi baharu, iaitu golongan belia yang dikenal pasti mempunyai potensi besar merebut manfaatnya.

Selain itu, inisiatif Johor 4.0 turut merangkumi semua daerah di negeri ini dengan setiap daerah itu mempunyai kelebihan ma­sing-masing yang kemudian dapat dipacu menerusi ekonomi digital.

“Justeru, kita berharap pelbagai usaha dan kerjasama yang dijalin akan membantu mendigitalkan negeri ini selain meningkatkan daya saing ekonomi nege­ri, sekali gus menjadikan Johor sebuah negeri pintar,” katanya.