Program yang akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bermula tahun ini hingga 2023 itu merangkumi keseluruhan rantaian bekalan ayam, penternakan ayam menerusi konsep ladang kontrak, penyembelihan serta pemprosesan dan pemasaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut diperkenalkan sejajar usaha untuk membangunkan ekonomi Johor sebagai hab kecukupan makanan selain memastikan penyertaan bumiputera dalam industri halal berskala besar.

“Sasaran program itu adalah untuk membangunkan 80 penternak ayam bumiputera dengan kapasiti pengeluaran 24 juta ekor ayam menjelang tahun 2023,” katanya semasa merasmikan program itu sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi nege­ri, Ismail Mohamed; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Ke­rajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

JCorp adalah pelaksana utama pelan berkenaan bagi mereali­sasikan inisiatif kerajaan negeri untuk membangunkan Johor sebagai hab kecukupan makanan serta melahirkan usahawan berpotensi dalam melonjakkan ekonomi negeri.

Menteri Besar berkata, program itu juga bermatlamat untuk memastikan kestabilan bekalan dan harga ayam bagi pengguna di negeri ini, sekali gus menyokong inisiatif Dasar Keselamatan Makanan Negara.

“Kita percaya dengan bim­bingan JCorp, program itu dapat dijayakan dan pada masa sama membantu usahawan bumiputera dalam sektor halal berskala besar dengan meneroka peluang perniagaan lebih luas dalam industri berkenaan,” katanya.

Pada majlis sama, Mohamed Khaled turut merasmikan Roadmap Pembangunan Usahawan Bumiputera dalam Industri Lembu Tenusu Negeri Johor yang dite­rajui Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) dan Pelan Strategik Pembangunan Koperasi 2017-2021 dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi memastikan koperasi terus menjadi gerakan yang relevan dan menero­kai sektor baharu.

Logo jenama Johor Brand yang diberi nafas baharu sejak diperkenalkan pada 2006 turut dilancarkan beliau pada majlis itu.