Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh Pegawai Kewa­ngan negeri, Datuk Osman Muda sambil dibantu Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Pengurusan), Samiun Salleh.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, buat permulaan jawatankuasa ini akan mengenal pasti jumlah sebenar pekerja yang terlibat bagi memboleh­kan kerajaan negeri meng­hulurkan bantuan segera RM500 seorang sebelum 31 Disember ini dalam usaha­ meringankan bebanan mereka terutama bagi menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

“Buat masa ini kita tak pasti lagi berapa ramai yang terlibat. Jawatankuasa ini akan mengenal pasti berapa ramai sebenarnya keluarga terlibat dan apabila sudah kenal pasti (jumlah), kita akan terus buat pembayaran sebelum 31 Disember ini,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan­ Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dilaporkan berkata, para pekerja yang diberhentikan secara berperingkat sejak September lalu akan cuba diserapkan dalam kilang Eastern Steel Sdn. Bhd., apabila kilang itu beroperasi sepenuhnya kelak.

Menurut Tengku Putera, kerajaan negeri telah meminta syarikat kilang besi keluli hasil usaha sama Hiap Tech Venture Berhad dari Malaysia dan Shougang Corporation itu me­ngutamakan pengambilan pekerja­ Perwaja yang berkemahiran.

“Bagaimanapun kita dan pihak Eastern Steel ketika ini tidak memperuntukkan kuota atau peratusan tertentu dalam mengambil khidmat tenaga kerja itu tetapi bergantung kepada kemahiran mereka,” katanya.

Perwaja yang ditubuh di bawah dasar perindustrian berat pada tahun 1982 telah beberapa kali bertukar pemilikan dengan dilanda pelbagai masalah termasuk masalah kewangan sehingga operasinya terpaksa ditutup.