Agak sukar untuk kita melihat timbunan sampah sarap yang dibuang di tepi jalan ke_rana pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin sentiasa memastikan ada unit pekerja bermotosikal yang membuat rondaan.

Pekerja unit ini memastikan tiada sampah ber­taburan di tepi jalan raya dan jika ada, mereka inilah yang akan me­ngutipnya dengan satu tujuan memastikan kea­daan persekitaran Melaka sentiasa bersih.

Itulah yang dapat dialami sendiri oleh saya apabila bekerja di sebuah negeri bersempadan dengan Melaka suatu ketika dahulu. Dalam perjalanan dari bandar itu untuk ke Melaka kelihatan sampah sarap seolah-olah sengaja dibiarkan di tepi-tepi jalan sehingga menyakitkan mata.

Tetapi apabila masuk sahaja ke kawasan Melaka, sukar untuk mencari sampah walaupun secebis dari mata kasar dan dari situlah saya mula kagum dengan PBT negeri ini mengawal tahap kebersihannya.

Namun itu kira-kira sembilan tahun lalu. Baru-baru ini Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron meluahkan rasa kecewanya dengan status terkini penarafan Melaka sebagai negeri paling bersih juga sudah jatuh ke tempat keempat di belakang Pulau Pinang, Terengganu dan Perak.

Menurut beliau, perkara itu bukan laporan rasmi yang belum tentu kesahihannya namun kerajaan negeri tetap mengambil berat mengenai­nya kerana isu kebersihan merupakan elemen utama untuk dipelihara di negeri ini.

PBT dituntut menggandakan pemantauan serta pemeriksaan menyeluruh terhadap persekitaran negeri ini ekoran tahap kebersihan yang didakwa merosot, katanya ketika merasmikan Medan Selera MBMB Plaza Sungai Udang baru-baru ini.

Jika benar penarafan itu diiktiraf sebagai rasmi, maka agak menyedihkan buat Me­laka kerana status kebersihannya merosot walaupun turun tiga anak tangga ke tempat keempat.

Mengapa keadaan itu boleh berlaku? Adakah kurang pe­nguatkuasaan menyebabkan penduduk tidak mempedulikan etika kebersihan atau pelancong tidak sayang negeri bersejarah ini?

Apa yang saya nampak, kerajaan negeri begitu menjaga kebersihan Melaka apabila Idris memperkenalkan slogan ‘Don't Mess With Melaka' sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada tahun 2013 lalu.

Slogan itu merupakan satu kempen kebersihan yang bertujuan mendisiplinkan masyarakat agar menjaga kebersihan bila berada di negeri pelancongan ini.

Elok sekali slogan ini dikuatkuasakan secara lebih tegas berasaskan kepada dua definisi iaitu ‘jangan kotorkan Melaka’ dan ‘jangan main-main dengan Me­laka'. Mereka yang membuang sampah merata-rata perlu dikenakan tindakan tegas.

Itu yang sepatutnya dilakukan dan jika amalan ini kembali dipatuhi, tidak mustahil kebersihan yang dilihat kira-kira sembilan tahun lalu akan kembali menawan hati pe­ngunjung.