Bagaimanapun, dalam usaha mendapat sokongan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pembangkang menabur fitnah kononnya golongan itu terabai sehingga ada yang gagal mendapatkan bantuan subsidi daripada kerajaan kerana tanah yang diusahakan tidak berdaftar.

Menjawab isu tersebut, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), DATUK MOHD. NAZRI ABDULLAH berkata, segala tohmahan yang ditimbulkan pembangkang itu sebenarnya adalah usaha terdesak mereka untuk meraih simpati rakyat.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, RODELIO JUNJUN TAUCAN beliau berkata, golongan peladang, petani, penternak dan nelayan sebenarnya amat bertuah kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada mereka tanpa henti demi kebajikan masyarakat itu.

 

UTUSAN MALAYSIA: Apakah bantuan kerajaan selama ini kepada ahli Nafas?

DATUK MOHD. NAZRI: Sebenarnya selama ini seperti mana kita maklum sepanjang peme­rintahan BN, kita telah melihat bagaimana kerajaan membantu masyarakat peladang ini setiap tahun dengan bajet untuk sektor pertanian yang tidak pernah berkurang, malah semakin bertambah.

Kalau bajet yang diberikan tidak cukup, kerajaan akan menambah lagi agar masyarakat peladang, petani, penternak dan nelayan ini mendapat pembelaan. Jadi, saya melihat kepada ke­adaan bagaimana kerajaan menya­yangi masyarakat ini, maka saya meng­ajak semua golongan ini supaya kita sama-sama membantu BN untuk mencapai kemenangan yang selesa dalam PRU-14.

Kita melihat sepanjang masa bukan sahaja sewaktu pilihan raya, banyak bantuan kepada golongan ini yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Memang sentiasa ada. Saya ambil contoh satu, penanaman padi bukit, mereka ini tidak terfikir pun bahawa kerajaan akan membantu mereka dengan memberikan bantuan RM200 sebulan selama tiga bulan iaitu jumlahnya RM600 untuk meringankan beban sementara menunggu hasil tuaian. Ini adalah dasar yang baik kerana apa­bila kita menunggu hasil tuaian tiada apa-apa pendapatan diperoleh tetapi ini kita dapat pendapatan melalui bantuan tunai.

Contohnya kalau hasil tuaian itu RM200, maka golongan ini menerima pendapatan RM800, jadi mereka harus berterima kasih kepada kerajaan untuk perkara-perkara seperti ini.

Berapa bajet tahunan yang disediakan kerajaan kepada go­longan ini?

Daripada keseluruhan bajet 2018 sebanyak RM6.5 bilion disediakan untuk sektor ini, pecahannya ialah kepada sektor penanaman padi, ternakan, perkebunan, sumbangan baja percuma kepada pesawah serta bantuan kepada nelayan. Jadi ini semua dalam satu kumpulan yang setiap tahun diraikan dalam Hari Peladang, Penternak dan Nelayan.

Bukan sahaja golongan ini diraikan oleh kerajaan bagi menghargai jasa mereka, tetapi mereka sentiasa diberikan peruntukan yang begitu baik untuk mereka selesa, malah dengan bantuan yang ada, golongan yang rajin sebenarnya mampu menjadi jutawan. Pertama mereka ada tanah, rajin dan pelbagaikan hasil tanaman termasuk menternak yang mampu menjana banyak hasil.

Industri pertanian difokuskan oleh kerajaan. Bagaimana golo­ngan ini perlu memanfaatkannya?

Saya melihat sektor ini sekarang merupakan sumber keka­yaan baharu yang selama ini mereka tidak terfikir pun sebab bukan sahaja kerajaan berikan bajet untuk menanam tetapi juga menyediakan peruntukan untuk memasarkan produk pertanian seperti durian Musang King sudah ada pasarannya di China.

Jadi asalkan kita tanam, Apabila ada hasil kita sudah ada pasaran di China. Sijil khas daripada kerajaan China juga sudah ada untuk membeli durian dari Malaysia.

Memang jelaslah golongan ini perlu menyokong kerajaan supaya dasar itu berjaya dilaksanakan?

Betul. Memang jelas mereka kena membantu kerajaan kerana kerajaan juga sudah banyak membantu mereka selama ini bukan sahaja memastikan mereka mendapatkan hasil yang begitu selesa tetapi mereka boleh menjana pendapatan yang sangat tinggi.

Tumpuan pembangkang adalah terhadap masyarakat di kawasan pedalaman, apa komen Datuk Mohd. Nazri?

Sebenarnya, fokus pembangkang untuk pergi ke luar bandar. Sebab mereka tahu ada golongan ini yang tercicir dan tidak dapat bantuan. Tetapi, jumlahnya terlalu kecil, tetapi bukan sengaja mereka tidak diberi bantuan. Sebenarnya masalah yang timbul ialah mereka tidak mempunyai tanah yang berdaftar, seperti se­tinggan tinggal di kampung itu untuk meneroka tanah yang belum ada pemilik. Jadi, apabila tiada pemilik, mereka tidak menepati kriteria untuk mendapat bantuan.

Kalau tanah itu berdaftar dan ada pemilik, maka barulah bayaran atau bantuan boleh disalurkan mengikut kepada penama di dalam geraWalau bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman kerana beliau telah memperkenalkan geran komunal yang membantu menyelesaikan masalah supaya golongan ini boleh mendapat subsidi dan bantuan, maka isu itu sudah tidak timbul lagi.

Jadi kenapa pembangkang mendakwa mereka (peladang, petani, penternak dan nelayan) tidak dibantu?

Sebab pembangkang tidak ada fakta. Mereka tidak tahu bahawa masalah itu telah diselesaikan oleh kerajaan. Mereka cuma tangkap muat dan keluarkan tuduhan. Tetapi, sebenarnya masalah itu sudah diselesaikan oleh kerajaan negeri supaya golongan itu mendapat segala bantuan daripada Kerajaan Pusat dan negeri.

Bagaimana pula cara Nafas membantu golongan ini?

Pertubuhan ini keahliannya melalui orang perseorangan yang membeli saham. Selepas itu, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) melaburkan duit itu melalui Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) kepada Nafas. Kemudian, apabila mendapat keuntungan, Nafas akan berikan hasil itu kepada PPN dan PPK yang akan diagih-agihkan kepada setiap ahli individu.

Jadi, sekarang apa yang kerajaan buat ialah membantu Nafas untuk menjadi pembekal kepada sistem baja padi subsidi. Apabila itu dibantu, Nafas tentu mendapat keuntungan dan akan diisytiharkan kepada PPN, seterusnya diserahkan kepada PPK.

Adakah pembangkang pernah membantu golongan ini?

Ini adalah soalan yang baik. Jawapannya ialah tidak. Pembangkang tidak pernah membantu sedikit pun. Semua bantuan yang disalurkan kepada penerima selama ini disediakan oleh kerajaan yang terbukti benar-benar bertanggung jawab iaitu BN. Pembangkang cuma pandai membuat dakwaan itu dan ini sahaja.

Bagaimana Datuk Mohd. Nazri melihat sokongan golongan peladang ini sepanjang kempen PRU-14?

Saya melihat masyarakat peladang cukup yakin bahawa mereka tidak terpengaruh dengan dakwaan pihak pembangkang. Ini kerana sebab mereka yakin kepada BN. Selama ini sudah terbukti BN memberikan bantuan dan pertolongan kepada mereka.

Bantuan ini bukan baharu, tetapi sejak dulu lagi. Kalau kita masih ingat semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri, ada satu ketika kita dilanda masalah banjir yang luar biasa dan ketika itu BN menyediakan banyak bantuan, termasuk pinjaman khas tanpa cagaran melalui Agro Bank.

Golongan ini pula boleh hidup dan memajukan perusahaan me­reka tanpa sukar untuk mendapatkan modal walaupun telah rugi sebelum itu.

Bayangkanlah betapa sayang­nya BN kepada golongan ini ketika itu dan selepas itu sumbangan ini berterusan sehingga diperkasakan lagi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau (Perdana Menteri) sa­ngat sayangkan rakyat. Apa sahaja permohonan diminta, Perdana Menteri akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Apa pesanan Datuk Mohd. Nazri kepada golongan ini sempena hari mengundi pada 9 Mei nanti?

Saya berharap sangat supaya masyarakat peladang mengingati setiap sumbangan dan bantuan daripada kerajaan kepada kita khususnya BN. Kita mesti ingat semua itu dan tolonglah terjemahkan sokongan ke dalam kertas undi nanti.

Saya selalu mengingatkan me­reka melalui pantun:

Satu, dua, tiga dan empat,

Begitulah cara membilang,

Kalau semua kita sudah dapat,Jangan lupa budi orang.