Pengarahnya, Muhammad Alif Haikal Cheong Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan me­ngenai perkara tersebut, iaitu waris keluarga terpaksa membayar bagi mendapatkan perkhidmatan itu daripada pihak ketiga.

Menurutnya, perkara tersebut terdedah apabila waris keluarga mengadu kepada pihaknya me­ngenai perbuatan orang tengah yang ingin membantu menguruskan permohonan tersebut.

“Sekiranya waris tidak tahu dan faham mengisi borang permohonan, mereka boleh meminta bantuan daripada para pegawai kita di pejabat, bukannya meminta bantuan daripada pihak ketiga,” kata­nya selepas menyampaikan faedah pencen ilat kepada seorang bekas pekerja syarikat pembersihan, Ishak A. Ghani, 75, yang menghidapi penyakit kanser hidung di Taman Nong Chik, di sini kelmarin.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh.

Selain menerima pencen ilat sebanyak RM900 sebulan, Ishak juga mendapat sumbangan kerusi roda dan elaun layanan sebanyak RM500 sebulan.

Muhammad Alif Haikal Cheong berkata, orang ramai boleh berurusan terus dengan pihak Perkeso di Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Muar dan Segamat sekiranya menghadapi masalah.

Sementara itu, isteri Ishak, Jamaliah Hasrin, 49, bersyukur dan berterima kasih atas bantuan yang diterima daripada pihak Perkeso kerana dapat meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka.

Menurutnya, permohonan yang dikemukakan sejak dua bulan lalu mendapat jawapan yang positif daripada Perkeso memandangkan suaminya hanya menerima pencen sebanyak RM650 sebulan.

“Sebelum bekerja dengan syarikat pembersihan, suami pernah bekerja dengan Majlis Daerah Pontian (MDP) selama 21 tahun dan 13 tahun,” katanya sambil memberi­tahu elaun bulanan itu akan digunakan untuk membeli keperluan harian dan rawatan suaminya.