Ketua Pengarahnya, Datuk Munir Mohd. Nawi menegaskan, selain pembatalan lesen, bot akan disita dan mereka juga bakal didenda RM100,000 hingga RM1 juta jika dikesan dan disabitkan melakukan perbuatan itu.

Katanya, tindakan tegas di bawah Akta Perikanan 1985 itu dikenakan bagi memastikan sumber perikanan negara terpelihara dan mengelakkan hasil laut tersebut dibawa ke luar negara.

Menurut beliau, sejak tahun 2015, sebanyak 472 lesen bot laut dalam telah dibatalkan kerana melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan dengan Sarawak mencatatkan jumlah pembatalan lesen bot tertinggi iaitu 260.

Ini diikuti Kelantan (90), Pahang (46), Terengganu (31), Perlis (28), Perak (10), Johor dan Selangor masing-masing tiga manakala satu di Labuan, Sabah.

“Kita pandang serius sebab kita tak mahu pengusaha asing menggunakan nama tempatan (nelayan tempatan) menjalankan operasi bot dalam dan ini sudah tentu hasilnya akan dibawa balik ke negara mereka,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan perasmian majlis sambutan ulang tahun ke-25 Pusat Pembangunan Perikanan Asia Tenggara (Seafdec)/Jabatan Pengurusan dan Pembangunan Sumber-sumber Perikanan Marin (MFRDMD) di Taman Perikanan Cendering di sini.

Yang turut hadir timbalannya, Tan Geik Hong dan Pengarah Seafdec/MFRDMD, Raja Bidin Raja Hassan.

Menurut Munir, pengusaha bot laut dalam tempatan sepatutnya menggunakan kesempatan meneroka kawasan tangkapan me­lebihi 100 hingga 200 batu nautika memandangkan sumber laut di kawasan itu bernilai tinggi.