Cukup dikenali sebagai kubu ampuh bagi pembangkang satu ketika dulu, kemenangan itu sudah tentu tidak diraih dengan mudah melainkan hasil kerja keras semua yang terlibat termasuk calon serta jentera parti.

Bahang PRU-14 kian menghampiri dan kemenangan itu pasti mahu dipertahankan apatah lagi perancangan dibuat untuk rakyat termasuk menunaikan janji-janji pilihan raya umum lalu untuk dilaksanakan satu per satu.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. RAFIE AZIMI baru-baru ini menemubual Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik, DATUK MOHD. TAJUDIN ABDULLAH untuk berkongsi pandangan mengenai kehendak rakyat serta perancangan memajukan kawasan itu.


UTUSAN: Boleh Datuk ceritakan bagaimana sukarnya menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang dikelilingi wakil rakyat daripada parti berbeza pada 2008?

MOHD. TAJUDIN: Saya akui keadaan pada waktu itu cukup mencabar. Tambahan pula kerajaan negeri ditadbir parti berbeza, bukan BN. Memang satu sen pun tak dapat daripada kerajaan negeri pada waktu itu.

Selaku Ketua UMNO Bahagian dan wakil rakyat Belantek, saya cuma diberikan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk diagih-agihkan kepada kawasan Parlimen yang cukup luas ini. Memang kena berjimat sungguh pada waktu itu, namun saya bersyukur kerana Kerajaan Pusat tidak bertindak menganaktirikan rakyat di sini dan akhirnya mereka sedar untuk memberi kemenangan 3-0 kepada BN dalam PRU-13.

 

Sik dulunya dikenali sebagai kubu pembangkang. Namun setelah Datuk berjaya memenangi Belantek pada 2008, BN kemudiannya berjaya mencatat kejayaan cemerlang apabila menyapu bersih semua kerusi DUN dan Parlimen di sini dalam PRU-13. Apa rahsianya?

Apabila dilantik menjadi Ketua UMNO Bahagian Sik, saya dapati pembangkang sebenarnya tidak kuat di sini, sebaliknya kita berpecah. Disebabkan itu saya memberi penekanan kepada pe­nyatuan kembali UMNO di sini dan Alhamdulillah, strategi itu berjaya.

Seperkara lagi yang menarik adalah, walaupun kita hanya ada satu kerusi saja di sini pada masa itu, tetapi kerja dijalankan secara menyeluruh di semua tempat di Sik. Kerja-kerja itu pula bukan dilakukan pada saat-saat akhir sebaliknya sejak dari awal kita mula bertapak di Belantek.

Kali ini insya-Allah penyatuan kita juga masih di tahap terbaik. Perkara sebegitu sebenarnya memainkan peranan cukup besar bagi membolehkan kita dipilih rakyat.

Mengapa BN perlu terus dikekalkan di ketiga-tiga kerusi di Sik?

Saya fikir setiap penduduk di Parlimen ini dapat melihat sendiri bagaimana kawasan ini berubah sejak BN mengambil alih. Mereka boleh menilai sendiri antara kerja yang kita lakukan berbanding pihak di sebelah sana sebelum ini.

Dalam masa sama, mereka perlu ingat, semua yang ada ini memerlukan kesinambungan supaya kawasan ini terus ke depan dan tidak terhenti pembangunannya di sini.

Jangan sia-siakan peluang ini. Sama ada kerajaan negeri atau Pusat, kedua-duanya mempunyai perancangan besar untuk Sik.

Setakat ini, saya boleh katakan kita sudah kian hampir untuk memiliki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Kolej Profesional Mara, Projek Skim Perumahan Bina Negara yang menyediakan 150 unit rumah mampu milik bagi penduduk luar bandar serta Pusat Sukan Tempur negeri di Sik. Semua itu memerlukan sokongan padu penduduk setempat.

Bagi membolehkan rakyat menilai apa yang hendak dibuat di sini, insya-Allah kami melancarkan manifesto setempat dalam masa terdekat. Di situ kami akan paparkan janji-janji realistik yang diyakini mampu dilaksanakan selepas PRU-14.

Boleh ceritakan serba sedikit mengenai perancangan atau impian Datuk mengenai pembangunan di Sik?

Saya mahu melihat Parlimen Sik menjadi daerah agropelancongan. Kita ada dua tasik yang berpotensi untuk melaksanakan perkara itu iaitu Tasik Beris dan Empangan Muda.

Selain itu, kita juga sedang merancang untuk pembangunan bandar baru Sik yang lengkap dari segala aspek. Bandar yang dibina secara berfasa-fasa itu nanti akan menjadi pusat pentadbiran di sini dan bakal diserikan dengan pelbagai program yang mampu menarik kehadiran pengunjung.

Matlamat kami adalah untuk menjadikan Sik sebagai kawasan pelancongan terkenal. Kita ada segala-galanya dari segi keindahan alam semula jadi sehinggalah makanan yang unik. Semua itu boleh menggamit kehadiran pengunjung.

Pesanan Datuk kepada rakyat Sik?

Setiap kali bertemu dengan rakyat, saya katakan pada mereka yang ‘kontrak’ kami wakil rakyat BN di sini untuk menyuarakan pandangan dan kehendak mereka sudah hampir tamat. Maka nilailah dengan mata hati mengenai khidmat kami di sini.

Saya fikir masing-masing boleh lihat bagaimana Sik berubah hanya dalam tempoh lima tahun kami menjalankan tugas. Pembangunan berlaku di depan mata mereka dengan Perdana Menteri beberapa kali datang ke daerah ini sekali gus menunjukkan keprihatinan Pusat kepada rakyat walaupun berada agak jauh dari bandar.

Disebabkan itu, kami harap teruskan memberi mandat kepada BN untuk menang 3-0 dalam PRU-14 nanti di Sik. Mereka perlu ingat yang pembangunan ini perlukan kesinambungan demi anak dan cucu mereka juga nanti.