Penyerahan dibuat oleh Pengarah JKR Terengganu, Ir Ab. Hamid Md. Daud dan kontraktor utama, Datuk Zainal @ Sharif Ibrahim dari Zainal @Shariff Ibrahim Sdn. Bhd kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rosman Roslan.

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di samping Setiausaha Kerajaan,, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman.

Pembangunan jambatan merentangi Sungai Terengganu sepanjang kira-kira enam kilometer dengan kos sebanyak RM245 juta yang membabitkan laluan dari Losong ke Pulau Sekati dan Teluk Pasu itu mula dibina pada tahun 2012 namun terencat akibat masalah pengambilan balik tanah yang berlarutan.

Sementara itu dalam sidang akhbar Menteri Besar berkata, jambatan itu sudah boleh digunakan penduduk bermula hari ini bagi laluan Losong ke Pulau Sekati.

Katanya, bagi laluan Jalan Banggol Tuan Muda ke Jeram Tokong pula ia dijangka akan dibuka kepada orang ramai pada 19 Jun depan sekali gus bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri agar kemudahan itu dapat dimanfaatkan pengguna sebelum Aidilfitri.

"Secara rasmi keseluruhan jambatan akan dibuka pada 19 Jun depan dan dengan adanya kemudahan ini secara tidak langsung kita dapat pastikan masalah kesesakan makin ketara di laluan Jambatan Sultan Mahmud dan Jambatan Manir dapat diatasi.

"Skop bagi laluan Losong ke Pulau Sekati ini membabitkan jambatan sepanjang 1.58 kilometer dan jalan baharu sepanjang 1.8 kilometer, laluan ini sudah siap dan dibuka kepada pengguna hari ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta orang ramai agar tidak menyalahgunakan manfaat itu termasuk merosakkannya dan bersama-sama menjaga untuk kepentingan bersama.-UTUSAN ONLINE