Antara laluan yang dikenal pasti, termasuk Jalan Usahawan, Taman Sri Rampai, Jalan Air Jerneh dan Jalan Air Keroh.


Turut terlibat, Jalan Rejang, Seksyen 10, Jalan Setiawangsa, Jalan Wangsa Perdana, Keramat Wangsa dan lain-lain.


Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari berkata, kerja-kerja tersebut dijangka siap dalam tempoh dua minggu dengan kos berjumlah RM500,000 hingga RM700,000.


“Jalan raya di kawasan terbabit berkemungkinan telah berusia 10 hingga 20 tahun dan sudah rosak atau berlubang sekali gus mengundang risiko kepada pengguna. Sudah tiba masanya diperbaiki, termasuk infrastruktur lain seperti longkang dan bonggol demi keselesaan penduduk.


“Proses ini sebagai fasa pertama tindakan penyelenggaraan sebelum ia menjadi lebih teruk. Kerja-kerja naik taraf tersebut bakal mengubah wajah jalan di Setiawangsa yang selama ini rosak teruk sekali gus memberi keselesaan kepada pengguna,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama wakil DBKL bagi meninjau keadaan infrastruktur dan jalan raya sekitar parlimen tersebut di sini hari ini.


Menurut Ahmad Fauzi, beliau mengalu-alukan penduduk di parlimen tersebut mengemukakan aduan permasalahan mereka menerusi laman sosial Facebook atau aplikasi Whatsapp beliau.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memaklumkan permasalahan di parlimen ini. Pihak DBKL diharap dapat melaksanakan tugas menangani kerosakan jalan raya tanpa menunggu aduan orang awam,” katanya. - UTUSAN ONLINE