Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan hampir 30 meter jalan tersebut runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah, Fadhil Wafi Nordin berkata, susulan kejadian itu, pihaknya membuat tiga pemasangan papan tanda sebagai amaran laluan ditutup ke negeri Terengganu.

“Kita telah menutup laluan kepada semua kenderaan berikutan runtuhan jalan. Pengguna yang mahu menggunakan jalan berkenaan untuk ke Terengganu diminta menggunakan laluan alternatif Jalan Gua Musang-Kota Bharu.

“Untuk makluman runtuhan berlaku di bawah seliaan JKR Hulu Terengganu, tetapi laluan tersebut sebahagian besarnya dibawah seliaan JKR Gua Musang.

“Runtuhan tersebut berlaku kira-kira 63 kilometer ke simpang utama Chiku 3 - Aring 8,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Ang­katan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pihaknya sedang memantau kesemua jalan di daerah itu yang berisiko.

Justeru, beliau menasihatkan agar pengguna jalan raya berhati-hati dan segera me­laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlakunya hakisan tanah atau jalan runtuh akibat hujan lebat.