Baginda bertitah, Jakim juga tidak perlu memberi pandangan kepada negeri ini kerana semua orang tahu urusan agama adalah di bawah kuasa negeri seperti yang termaktub dalam perjanjian Persekutuan.

Baginda bertitah demikian susulan Pegawai Kader Jakim, Dr. Zamihan Mat Zin yang mengkritik baginda susulan isu dobi mesra muslim di Muar, dekat sini yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

"Beberapa orang mufti dan pakar agama telah keluarkan pandangan dan hujah mereka berkaitan perkara ini, namun malangnya ada pula seorang penceramah bernama Ustaz Zamihan Mat Zin yang mengkritik tindakan saya dan memperlekeh mufti-mufti tersebut.

"Gaya cakapnya sangat angkuh dan sombong seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain. Saya anggap dia hanya seperti tin kosong yang tak ada otak," titah Sultan Ibrahim ketika Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ke-17, sebentar tadi.

Sultan Ibrahim turut menyifatkan Zamihan berbohong selepas menafikan dia menyebut perkara itu setelah dikecam orang ramai.

"Nampaknya ustaz ini dah pandai berbohong pula, macam mana kita nak belajar dengan dia. Jangan nak temberang dengan saya, lepas ini cukuplah berceramah depan cermin sahaja untuk kenal diri sendiri.

"Kalau betul dia penceramah Jakim, saya tidak tahu dari mana Jakim pungut dia, selepas ini juga saya mengarahkan JAINJ tidak perlu lagi buang masa berurusan dengan Jakim," titah baginda. -UTUSAN ONLINE