RAZUKI: Operasi penguatkuasaan CIDB sama ada bersepadu atau dalam kumpulan kecil adalah tidak lain untuk me­negakkan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (520) pindaan 2011 yang diwartakan Kementerian Kerja Raya pada 1 Jun 2015.

CIDB bertanggungjawab memastikan kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produkti­viti dengan menekankan aspek profesionalisme, inovasi dan pengetahuan.

Di samping itu, operasi juga dapat membolehkan jalinan kerjasama antara CIDB dengan pelbagai agensi penguatkuasaan berkaitan kerja pembinaan di tapak bina sekitar ibu negara.

Selain isu keselamatan, apakah objektif yang digariskan CIBD dalam operasi penguatkuasaan?

Objektif operasi itu digerakkan bukan semata-mata mencari kesalahan penggiat industri khususnya syarikat binaan, tetapi untuk memberi ke­sedaran kepada mereka dan orang awam terhadap pematuhan akta dan peraturan berkaitan industri pembinaan.

Apakah pendekatan yang diambil untuk membendung masalah berkenaan?

Antara pendekatan yang dilakukan bagi mengelakkan masalah di tapak pembinaan adalah dengan mengadakan kursus dan latihan secara berperingkat kepada semua kontraktor dan pemaju.

Ia akan mendedahkan mereka kepada beberapa aspek penting dalam proses pembinaan sama ada sebelum, semasa dan selepas projek dibangunkan.

Selain itu, tindakan juga diambil seperti kompaun, pembatalan serta penggantungan lesen.

Berdasarkan laporan, berapa operasi yang dilancarkan CIDB dalam tempoh sebulan?

Dua jenis operasi iaitu operasi bersepadu dengan melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (WPKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (WPKL).

Operasi bersepadu ini digerakkan dengan melihat keperluan kes, kemudahan logistik dan kesediaan agensi penguatkuasaan yang lain.

Manakala operasi yang melibatkan satu agensi dalam satu masa giat diteruskan secara berkala sekurang-kurangnya hampir 15 kali dalam tempoh sebulan.

Tumpuan diberikan kepada aspek kesihatan, kebanjiran warga asing dan tahap keselamatan tapak pembinaan.

Boleh jelaskan apakah tindakan terhadap kontraktor yang gagal mematuhi peraturan?

Tindakan yang dikenakan tertakluk kepada undang-undang yang ditetapkan iaitu pematuhan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520).

Tindakan ini mengambil kira sama ada penggantungan, tarik balik atau pembatalan lesen kontraktor sedia ada sekiranya didapati melakukan kesalahan.

Penguatkuasaan Akta 520 juga menjurus kepada Pendaftaran Kontraktor (Seksyen 25), Levi (Seksyen 34) dan Pendaftaran Personel Binaan (Seksyen 33) serta Bahan Binaan (Seksyen 33C (1) di bawah Akta 520 CIDB (Pindaan 2011).

Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan terutama apabila melibatkan isu ke­selamatan pekerja dan orang awam.

Setiap operasi yang dilancarkan CIDB bergantung kepada aduan ataupun hasil risikan jabatan khas?

CIDB mengambil pendekatan penguatkuasaan menerus pemeriksaan tapak bina melalui lawatan tapak secara berkala, notis CIDB dan aduan industri sama ada aduan itu diterima daripada orang awam, e-bantuan CIDB, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta arahan khas daripada pihak pengurusan tertinggi.

Operasi ini juga tertakluk kepada maklumat yang kami diperoleh sama ada maklumat itu daripada orang awam, aduan mahupun risikan daripada pegawai CIDB.

Bagaimanapun kita tidak akan memandang remeh perkara ini dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.

Pihak kita juga akan membuat risikan dalam tempoh tertentu sekurang-kurangnya seminggu bagi memastikan setiap maklumat yang dimaklumkan itu benar-benar berlaku ataupun sebaliknya.

Harapan terhadap pihak pelaksana projek pembangunan?

Apa yang diharapkan adalah semua pihak dapat mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan supaya setiap masalah yang berlaku dapat diatasi dengan mudah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan CIDB dan pihak berkaitan.