Tengku Abdullah
Tengku Abdullah

Baginda bertitah, masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, tetapi juga merupakan lam­bang kepada syiar Islam yang memainkan pera­nan pen­ting dalam kehidupan ummah.

“Dengan seikhlas hati saya berharap semua pi­­hak jangan menjadikan masjid sebagai tempat berpecah-belah.

“Tidak kira jika ada unsur-unsur politik, kalau boleh kita bersatu di bawah satu bumbung rumah Allah ter­utama dalam kalangan orang Me­layu,” titah baginda ketika merasmikan Mas­jid Cengal Lempong, Sungai Karang, di sini semalam.

Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Selain bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat, majlis tersebut turut meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan ba­ginda yang ke-31.

Baginda turut berkenan me­ngurniakan sumbangan kepada seramai 100 penerima terdiri daripada golo­ngan yang memerlukan bantuan.

Dalam pada itu, Tengku Ab­­dullah berbangga melihat perkembangan dan perjalanan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) terutama berkaitan pe­ngurusan masjid serta surau.

Baginda kagum dengan pembinaan lebih 600 buah masjid di negeri ini yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan.

“Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku ketua agama Islam sentiasa memberi ke­utamaan dalam menjayakan agenda berkaitan Islam dan Melayu. Pada masa sama ba­ginda tidak meninggalkan kebajikan kaum lain,” titah ba­ginda.