Usaha yang dipelopori Waiz Kashifi Abdul Rau f untuk menjadikan pertanian bandar sebagai aktiviti ekonomi masyarakat bandar sejak enam tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan.

Tanah sekangkang kera di sebuah pangsapuri di Seksyen 17, Shah Alam, adalah antara kawasan kecil yang dimanfaatkan sepenuhnya untuk projek pertanian bandar. Ikuti temu bual wartawan, ABDUL RAZAK IDRIS bersama Tokoh Usahawan Tani Kelab Usahawan Selangor 2015 ini.
 

UTUSAN : Boleh saudara kongsikan sedikit bagaimana permulaan usaha awal Pertanian Bandar di Shah Alam ini?

WAIZ KASHIFI: Konsep Pertanian Bandar tercetus pada tahun 2011 apabila saya membawa idea tersebut kepada Ketua UMNO Bahagian Shah Alam semasa itu, Datuk Ahmad Nawawi Md. Zin pemimpin yang mempunyai visi untuk menjadikan Pertanian Bandar suatu punca pendapatan.

Hasrat saya direalisasikan oleh beliau apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani semasa itu, Tan Sri Noh Omar setuju untuk menyokong idea tersebut dan melancarkan program tersebut pada tahun 2011 juga.

Bagaimana tercetusnya idea tersebut?

Sebelum menceburi bidang per­­tanian sepenuh masa, saya bekerja di Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Proton dan di beberapa buah syarikat swasta. Semasa saya bekerja di syarikat tersebut, saya sering dihantar berkursus di negara se­perti di United Kingdom, Jepun dan lain-lain negara maju.

Semasa belajar ilmu au­tomotif, saya turut mengutip ilmu pertanian di negara tersebut. Apa yang saya lihat penduduk setempat aktif bertani walaupun mempunyai ruang tanah yang sempit.

Dari situ saya mengumpul idea untuk melaksanakan perkara yang sama di negara ini.

Apa yang menguatkan sema­ngat saudara untuk menceburi bidang pertanian?

Saya lahir dalam keluarga susah dan sudah biasa dengan hidup sebagai petani. Setelah bekerja lebih 20 tahun dan bergelumang dengan kerja-kerja berkaitan kejurute­raan di kilang Proton dan kilang lain saya mengambil keputusan untuk berhenti dan melibatkan diri dalam pertanian sepenuh masa.

Setelah beberapa kali jatuh dan bangun dalam bidang pertanian saya lihat bidang ini amat berpotensi menjadi sumber rezeki penduduk di bandar yang tertekan akibat kenaikan kos hidup.

Apakah penyebab utama bidang ini tidak begitu menarik perhatian ramai, terutama golo­ngan muda?.

Masalah paling utama adalah tanah yang kurang untuk bercucuk tanam. Justeru pada tahun 2011 saya memperkenalkan kit untuk bercucuk tanam secara fertigasi di kawasan rumah yang minima.

Namun, disebabkan masalah bekalan air yang melanda Sela­ngor beberapa tahun kebelaka­ngan ini menyebabkan permin­taan kit fertigasi memberi kesan kepada pengedaran produk tersebut.

Pertanian Bandar secara fertigasi di halaman rumah perlukan pengairan yang konsisten.

Buat masa ini saya mendidik orang ramai untuk bertani di atas batas tanah sahaja disebabkan isu bekalan air tersebut.

Sejauh mana bidang tersebut memberi masa depan kepada anak muda?

Generasi muda adalah aset negara dan golongan ini menjadi fokus saya sebagai sukarelawan bidang pertanian untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka secara menyeluruh.

Di Seksyen 17 di sini saya turut terlibat memberi kursus penanaman sayur - sayuran seperti cili merah, bayam, kangkung dan sawi melibatkan Projek Kebun Komuniti.

Seramai 60 orang peserta tua dan muda terlibat mengerjakan 48 batas tanah di kawasan perumahan di sini.

Setiap minggu hasil boleh di­tuai untuk dipasarkan secara te-rus atau pesanan menggunakan media sosial. Setiap batas tanah yang dituai hasilnya mampu mencapai 30 kilogram, dan harga jualan mengikut harga pasaran semasa.

Apakah misi dan visi saudara seterusnya?

Misi dan visi saya adalah untuk menjadikan Konsep Pertanian Bandar suatu budaya hidup masyarakat di negara ini kerana kos hidup yang tinggi dapat dikurangkan jika kita berjimat-cermat dalam membeli bahan makanan.

Prinsipnya ‘Makan Apa Yang Ditanam, Tanam Apa Yang Dimakan’ iaitu kita boleh menghasilkan sendiri makanan yang kita perlukan.

Nasihat saudara kepada orang ramai bagaimana menjadikan pertanian sebagai amalan baik dalam kehidupan?

Di bandar kos hidup semakin meningkat kerana kita terlalu berharap kepada peniaga untuk membekalkan segalanya sedang­kan kita boleh menghasilkan sendiri makanan.

Sistem fertigasi misalnya, bo­leh dibuat di rumah sahaja. Cili merah boleh ditanam dalam pasu sebagai permulaan.

Begitu juga tanah kosong yang ada di depan rumah boleh dimanfaatkan melalui aktiviti pertanian.