Kerja pembersihan di kawasan tanah dicerobohi oleh 31 penduduk Indonesia yang menetap di Kampung Camar Bulan di Temajuk, Kalimantan Barat (Kalbar) terletak bersempadan dengan Telok Melano itu dijalankan sejak 19 Februari lalu sehingga kelmarin.

Kesemua kerja pembersihan itu dilakukan secara kerjasama antara anggota Batalion Ke-11 Rejimen Askar Melayu Diraja (11-RAMD) dengan Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Tentera Nasional Indonesia Angkatan Darat (TNI-AD), Polis Republik Indonesia (POLRI) dan lain-lain agensi tempatan yang berkaitan.

Isu persempadanan di kawasan Perlindungan Hidupan Liar Samunsam timbul apabila Markas 3 Briged menerima beberapa aduan daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), JHS, SFC dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui pejabat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sarawak pada tahun lalu.

Susulan aduan tersebut, kedua-dua delegasi Malaysia dan Indonesia iaitu Briged Ketiga Infantri Malaysia dan Korem 121/ABW telah melaksanakan tinjauan di kawasan itu pada 30 Mac tahun lalu.

Hasil tinjauan mendapati, terdapat 31 rakyat Indonesia yang menetap di Kampung Camar Bulan telah menanam getah dan lada hitam di wilayah milik Sarawak sejak 8 hingga 9 tahun yang lalu membabitkan keluasan 8 hektar.

Menerusi tinjauan tersebut, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd. Bustaman Mat Zin memutuskan secara lisan arahan supaya penduduk Kampung Camar Bulan meroboh dan memusnahkan ladang yang usahakan secara haram itu sehingga 31 Disember tahun lalu.

Keputusan itu kemudian direkodkan dalam mesyuarat bilateral pada 29 Ogos tahun lalu setelah dipersetujui oleh kedua-dua delegasi berkenaan.

Namun, tinjauan udara dibuat oleh JHS pada 29 Disember tahun lalu, mendapati tiada sebarang tindakan lanjut dilakukan oleh penduduk terlibat menyebabkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa mengarahkan kerja pembersihan dilakukan sendiri oleh pihak berkuasa.

Kerja pembersihan membabitkan penebangan 6,757 batang pokok daripada pelbagai jenis tanaman seperti getah, lada hitam dan sawit yang selesai itu, telah dirasmikan penutupannya oleh Mohd Bustaman di sini semalam.

Dalam ucapan pada majljs tersebut, beliau berkata, pihaknya berharap agar hubungan bilateral yang terjalin dengan Indonesia sejak 45 tahun lalu akan kekal baik pada masa depan.

“Saya berharap sifat toleransi dan bertolak ansur antara pemerintah kekal baik agar permasahan berkaitan persempadanan dapat diselesaikan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE