Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, elemen reka bentuk yang bersesuaian dengan cita rasa masyarakat masa kini dan dinamik akan digabungkan dengan pelan landskap berkenaan.

"Ini bermakna IRDA akan bekerjasama dengan penuntut dan masyarakat setempat untuk mengindahkan semula Sungai Segget sebagai hadiah kepada rakyat.

"Ada beberapa elemen unik oleh penuntut yang boleh diterapkan, contohnya penggunaan tayar sebagai penahan bangku dan kayu turbin dijadikan sebagai pelantar," katanya kepada pemberita selepas melawat dan meninjau projek pemulihan Sungai Segget, hari ini.

Lawatan itu sempena Bengkel Senibina Neon Ke-29 dan Forum Segget Greatest yang dihadiri lebih 1,000 penuntut dari 27 universiti seluruh negara, Indonesia dan Brunei di Jalan Segget, di sini.

Ismail berkata, pihaknya akan memuktamadkan pelan reka bentuk landskap tersebut sebelum hujung tahun ini dan mengadakan beberapa siri hebahan bagi mendapatkan maklum balas daripada orang awam.

"Kita akan adakan pameran mengenai reka bentuk landskap projek pemulihan untuk mendapatkan pandangan awam sebelum reka bentuk akhir dimuktamadkan. - UTUSAN ONLINE