Raja Muda Perlis,  Tuanku Syed Faizzudin Putra Jamalullail bertitah, ia bukan sekadar program dan memenuhi agenda tetapi mestilah diterapkan dalam budaya hidup seharian sedari kecil.

"Integriti merupakan satu nilai yang dipamerkan dari kekuatan dalaman seseorang.

"Dalam Islam, Integriti dikaitkan dengan ketaqwaan dalam diri seseorang," titah baginda ketika berkenan berangkat memulakan kempen tandatangan   'Ikrar Rakyat Perangi Rasuah' oleh rakyat Perlis atas inisiatif pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersempena sambutan hari ulangtahun Jubli Emas SPRM yang ke-50 pada 1 Oktober.

Hadir di majlis yang diadakan di Arau itu ialah Pengarah SPRM  Negeri Perlis, Yaacop Angah dan timbalan-timbalan beliau Abdullah Mohamed Kassim dan Azuraimi Ahmad.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd Noor.

Menurut baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs pelbagai teknik kempen antirasuah dilaksanakan di negara-negara maju lain, yang boleh dipertimbangkan untuk digunapakai di negara ini mengikut kesesuaian dan acuan setempat.

Denmark contohnya, titah baginda, mengamalkan 'Code Of Conduct' di mana setiap penjawat awam perlu mengisytiharkan maklumat mengenai perbelanjaan dan barang, hadiah, perbelanjaan yang diterima setiap bulan.

New Zealand pula titah baginda menguatkuasakan agensi antikorupsi dengan mengetatkan undang-undang ke tahap yang tertinggi, dan efektif dan memeriksa setiap penjawat awam dan pemimpin secara terbuka, selain memberi kuasa serta akses khas kepada penguatkuasa agensi untuk memeriksa individu yang disyaki secara terus.

"Finland memberi kebebasan sepenuhnya kepada pihak media untuk membuat pendedahan secara terbuka dalam mengawal dan menguatkuasakan sistem demokrasi.

"Begitu juga Sweden yang menggunakan konsep 'Open Budget Index' melalui pendedahan secara terus cara perbelanjaan setiap Kementerian dan rakyat serta orang awam boleh melihat prestasi belanja secara terbuka yang diuruskan oleh kerajaan.

Tambah baginda lagi,  empat negara tersebut merupakan negara yang paling rendah kadar rasuahnya menurut portal Business Insider melalui Index Prestasi Persepsi Rasuah Tahun 2011. Sehingga kini, negara-negara ini masih mengekalkan rekod terbaik dalam menangani isu-isu korupsi.  - UTUSAN ONLINE