Ini kerana, menurut bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, jika dasar itu diperkenalkan ketika Johor sedang memuncak naik dan menjadi pilihan, akan menjadi satu 
kerugian hasil yang besar kepada Johor.

Melainkan kerajaan negeri hari ini, katanya, mengakui bahawa mereka tidak berupaya meneruskan pencapaian terbaik negeri ini dalam aspek kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) selama lima tahun lepas.

“Cadangan itu dengan jelas menjadi petunjuk bahawa kerajaan negeri kini berada dalam keadaan pincang dan sangat terdesak selepas Pakatan Harapan mengambil alih. 

“Sehingga terpaksa memberikan pelabur asing kelebihan dan kemasukan percuma ke Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Johor utara pastinya mempunyai keistimewaan tersendiri bagi menarik pelabur tempatan dan antarabangsa sekali gus kerajaan negeri perlu menggunakan kelebihan yang ada untuk mengembangkan aspek pelaburan lain.

“Barangkali YAB Menteri Besar Johor sudah ketandusan idea untuk membangunkan Wilayah Utara Johor tanpa perlu melepaskan peluang kerajaan negeri untuk mendapatkan hasil.

“Saya percaya cadangan itu dilakukan demi menjayakan manifesto Pakatan Harapan untuk merancakkan pembangunan di utara negeri ini,” katanya. - ONLINE UTUSAN