Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, peruntukan itu tidak akan dihadkan, malah seiring dengan jumlah peningkatan para pelajar cemerlang.

“Pemberian insentif seumpama itu sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kerajaan negeri terhadap usaha mereka yang diharap dapat terus menyuntik semangat para pelajar lain pada masa-masa akan datang,” katanya.

Ahmad Razif menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Ke-38 serta Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Guru-Guru Akram di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini semalam.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A. Latiff Awang; Ahli Pemegang Amanah Yayasan Terengganu (YT), Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; Pengarah YT, Ishamuddin Hashim dan Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin.

Dalam majlis itu, seramai 446 pelajar cemerlang diraikan dan mereka menerima insentif berjumlah RM232,300 termasuk dua pe­nerima Anugerah Pingat Emas dan seorang penerima Anugerah Khas.

Dua pelajar yang mendapat Anugerah Pingat Emas itu ialah Husna Mardhiyah Mohd. Fauzi, 18, dan Najmuddin Mohd. Razif, 18, masing-masing menerima RM5,000.

Husna Mardhiyah merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Kemaman memperoleh 11A+ dalam SPM 2016 manakala Najmuddin, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Nurul Ittifaq, Besut, mendapat 10A+ dan 1A dalam SPM tahun lalu.

Sementara itu Anugerah Khas pula menjadi milik Nur Syuhada Alias, 18, bekas pelajar SMK Bukit Besar yang cacat penglihatan dan memperoleh 5A dalam SPM 2016.

Pencapaiannya itu membolehkannya menerima insentif RM2,000.