Tanda-tanda klinikal penyakit tersebut seperti hilang selera makan, keletihan, sakit perut, loya, muntah, demam, cirit-birit, air kencing berwarna gelap, najis berwarna pucat dan jaundis.

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Dr Jamilah Hashim, pengesanan dan rawatan awal dapat mencegah komplikasi penyakit serta menyelamatkan nyawa.

Beliau turut mengesahkan mesej tular di media sosial mengenai surat arahan dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Samarahan kepada semua klinik di bahagian itu bagi menjalankan pemeriksaan rapi terhadap sebarang kes mempunyai tanda-tanda
klinikal seperti penyakit Hepatitis A.

"Ini (mesej tular) adalah berhubung kait dengan kejadian wabak Hepatitis A yang melibatkan dua kes penduduk yang menetap di Kampung Asajaya Laut.

"Wabak itu disyaki datang dari kawasan Kota Samarahan khususnya Kampung Asajaya Laut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua kes telah mendapatkan rawatan di hospital swasta sebagai pesakit luar.

"Cara jangkitan utama ialah melalui makanan dan air yang tercemar dengan najis yang mengandungi virus Hepatitis A.

"Aktiviti pengesanan kes secara aktif ini telah bermula pada 15 Februari lalu sehingga kini dan semua penduduk setempat diharap memberi kerjasama sepenuhnya kepada pegawai kesihatan nanti," ujarnya

Beliau berkata, tindakan kawalan dan pencegahan Hepatitis A sedang dilaksanakan dengan pemantauan rapi dari klinik dan hospital, aktiviti pendidikan kesihatan serta pemantauan kawalan kualiti air terawat.

Katanya, orang ramai dinasihatkan memasak air sebelum digunakan walaupun bekalan air di rumah telah ditapis.

Tambahnya, orang ramai mempunyai sebarang kemusykilan tentang penyakit itu, boleh menghubungi PKB Samarahan di talian, 082-673626.-UTUSAN ONLINE