Muhammad Noor Ikhwan Abdul Mutalib yang tinggal di Kampung Lubok China sebelum ini berdepan kesukaran dalam ber­urusan termasuk menyambung pelajaran dan mencari pekerjaan kerana ketiadaan dokumen pe­ngenalan diri.

Menurutnya, yang juga anak bongsu daripada lima adik-beradik, walaupun selama ini dia tidak pernah ditahan dalam sekatan jalan raya kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri namun masalah itu menyebabkan dia sukar untuk mencari pekerjaan lain.

Disebabkan perkara itu juga katanya, dia tidak dapat mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga kini atau meneruskan cita-citanya menjadi anggota bomba.

“Saya difahamkan oleh arwah bapa, dia tidak memiliki surat sijil kelahiran kerana sewaktu dilahirkan keluarganya tidak mampu melangsaikan bil hospital kerana ibunya seorang warganegara Si­ngapura selain membesarkan adik-beradik lain.

“Ketika berusia dua tahun, ibu bapa kami berpisah dan menyebabkan proses untuk mendapatkan surat beranak itu semakin sukar kerana dia tidak dapat dihubungi sehingga kini,” katanya ketika ditemui di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah JPN Melaka, Norazle Sulaiman dan Pengarah Pembela BN negeri, Amir Hamzah.

Sementara itu, Norazle berkata, JPN akan memproses permohonan MyKad tersebut selepas menerima dokumen lengkap yang dikemukakan oleh Muhammad Noor Ikhwan.

“Daripada semua dokumen yang diberikan, ia memenuhi syarat yang ditetapkan untuk permohonan MyKad, namun sekiranya perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA), ia akan ditentukan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Tambahnya, pihak JPN juga akan sentiasa membantu rakyat yang mengalami masalah dari segi ketiadaan pengenalan diri dan membantu mengikut saluran yang betul,” katanya.