Malah, setiap perancangan yang mahu dibangunkan akan dikaji serta diteliti dengan mengambilkan faedah dan ganjaran terbesar khususnya buat penduduk sekitar sebelum sebarang keputusan dibuat. Terbaharu, satu projek berimpak tinggi melibatkan pembinaan jambatan pejalan kaki bakal dimulakan dan akan menjadi satu lagi ikon serta identiti kemajuan kawasan yang berada di pusat bandar itu.

Wartawan Utusan Malaysia, FAUZI SUHAIMI barubaru ini menemu bual Pengerusi PKB, Datuk Affendi Zahari bagi memperhalusi dan menerangkan projek yang akan melonjakkan nama Kampung Baru ke persada antarabangsa.

UTUSAN: Boleh perhalusi apakah sebenarnya projek Saloma Link?

AFFENDI: Projek Saloma Link merupakan salah satu projek mega yang bakal diba­ngunkan di Kampung Baru melibatkan pembinaan jambatan pejalan kaki yang menghubungkan secara terus pusat bandar dengan Kampung Baru.

Jambatan sepanjang 68 meter itu akan dibina merentasi Le­buhraya Ber­tingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), menghubungkan Lorong Raja Muda Musa 3 berhampiran Stesen LRT Kampung Baru dengan Jalan Saloma yang terletak di sisi bangunan Menara Public Bank berhadapan Jalan Ampang, tidak jauh daripada Menara Berkembar Petronas.

Bila projek ini akan bermula?

Sekurang-kurangnya penghujung tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh satu setengah tahun.

Bagaimanapun PKB masih mempertimbangkan peruntukan dan reka bentuk yang tepat sebelum ia dimulakan bagi memastikan projek ini benar-benar memberi manfaat kepada penduduk dan pembangunan Kampung Baru secara amnya.

Berapakah bajet bagi pembangunan projek ini?

Buat masa ini, anggaran awal bagi kos perbelanjaan projek itu adalah sebanyak RM20 juta dan sudah diluluskan di peringkat kementerian dan masih dalam perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan.

Apakah manifestasi di sebalik pembinaan Saloma Link?

Untuk pengetahuan semua, sebelum ini, terdapat sebuah jambatan merentasi sebatang sungai yang menghubungkan kedua-dua kawasan ini. Dek pembangunan, jambatan itu dirobohkan.

Saya mahu akses lebih mudah ke Kampung Baru dari dan ke pusat bandar sekali gus menjadi ikon pembangunan Kuala Lumpur. Saya yakin projek ini akan menarik lebih ramai pelancong ke Kampung Baru.

Apakah konsep yang diketengahkan untuk seni bina Saloma Link?

Pada peringkat awal, kami ketengahkan beberapa konsep untuk seni bina jambatan ini bagi memastikan ia lebih unik dan menarik jika dibandingkan de­ngan jambatan lain yang ada di negara ini.

Seni bina yang moden dan bersesuaian penting bagi menonjolkan kecantikan dan kemegahan sebagai ikon baharu di Kampung Baru.

Konsep sirih junjung dipilih sebagai ilham dalam mereka bentuk jambatan berkenaan yang turut diterapkan ciri-ciri pencahayaan bagi menyerlahkan lagi keunikannya pada waktu malam.

Ia akan dihiasi sistem pencahayaan canggih menjadikannya seolah bergemerlapan pada waktu malam, persis seperti Bridge of Peace di Tbilisi, Georgia.

Apakah kesan jangka panjang apabila projek Saloma Link siap?

Menerusi rancangan projek berkenaan memperlihatkan perkembangan pembangunan di Kampong Baru yang kini telahpun melalui beberapa fasa naik taraf infrastruktur dan projek mega melibatkan pelaburan yang besar.

Sekurang-kurangnya lima pe­labur sedang menjalankan projek pembinaan melibatkan tanah-tanah pemilik yang telah digabungkan untuk pembangunan berskala besar.

Saya percaya dengan adanya penambahan projek yang bakal menjadi ikon baharu ini dapat menarik lebih ramai pelabur ke kawasan Kampung Baru.

Harapan di sebalik pembinaan projek ini?

Kami mengharapkan agar perjalanan projek ini dapat dilaksankan dengan lancar dan siap dalam tempoh yang ditetapkan.

Apabila siap nanti, ia tidak hanya menjadi penghubung tetapi akan menjadi lokasi baharu tumpuan warga kota dan pelancong.

Ini kerana, jajaran laluan jambatan itu mampu menyediakan pemandangan jelas bangunan ikonik negara iaitu Menara Berkembar Petronas (KLCC) tanpa sebarang halangan, sesuai untuk pelancong mengambil gambar.

Kedudukannya turut mengambil kira bangunan-bangunan sekitar KLCC termasuk Menara 118 yang bakal siap nanti, bahkan projek pembangunan semula sebuah bangunan berhampiran juga tidak akan menjejaskan pemandangan melainkan jika Tanah Perkuburan Ampang diba­ngunkan.