Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aolam Sekitar Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, meskipun sampel bahan kimia yang dikenal pasti setakat ini terlalu umum iaitu D-Limonene, Benzene, Toulene, Xylene dan Ethylbenzene tetapi ciri-ciri istimewa kompaun itu masih boleh diperincikan lagi.

Jelas beliau, menerusi profiling bahan, 'pelaku' dalam kejadian tersebut boleh dikenal pasti termasuk pengeluar, pembekal dan pembelinya.

"Sebagai contoh, dalam pembuatan sabun, walaupun ia kelihatan sama tetapi ada ciri-ciri unik yang boleh membezakan antara jenama X dan Y.

"Saya yakin menerusi penggunaan teknologi, mereka yang bertanggungjawab tidak akan dapat lari daripada kesalahan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lalu, lebih 1,000 orang pelajar kedua-dua sekolah terbabit diarah mengosongkan kawasan sekolah kira-kira pukul 10.30 pagi apabila beberapa
pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) kemudian mengesan D-Limonene iaitu bahan kimia daripada proses penguraian tayar merupakan bahan utama yang terdapat dalam sampel air yang di ambil.

Semalam, akhbar melaporkan pendakwaan terhadap suspek utama kes pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang masih belum dapat dilakukan hari ini disebabkan maklumat pertuduhan yang masih belum lengkap.

Norazian seterusnya berkata, meskipun sudah seminggu kejadian berlaku, masyarakat tidak seharusnya mengambil mudah kesan daripada pembuangan sisa kimia tersebut.

Ujar beliau, masyarakat hanya melihat kesan pencemaran langsung semata-mata, namun apa yang tidak difahami oleh masyarakat ialah gas-gas toksik yang boleh terhasil daripada tindak balas kimia antara larutan kimia yang dikesan.

"Ini termasuk gas volatile organic compounds (VOCs) spt metana dan benzena, gas hidrogen klorida, sulfur dioksida dan hidrogen sianida yang mana selain daripada gas-gas yang dikeluarkan secara langsung,” ujarnya.

Beliau seterusnya menjelaskan, kesan gas-gas ini tidak sama pada setiap orang dan ia bergantung kepada beberapa faktor antaranya tempoh pendedahan kepada gas, kepekatan gas, umur pesakit serta keadaan kesihatan pesakit.

"Semakin lama masa terdedah kepada gas tersebut semakin bahaya risikonya kepada mana-mana individu. Sekiranya kepekatan gas toksik adalah tinggi pula, ini akan menyebabkan gas oksigen yang disedut berkurangan dan menyebabkan kesesakan nafas iaitu apabila peratusan gas oksigen kurang daripada 23 peratus.

"Selain itu, kanak-kanak dan orang tua adalah dua golongan yang akan terlebih dahulu merasai kesan kerana daya tahan dan imunisasi badan yang tidak kuat.

"Tidak ketinggalan pesakit yang telah mempunyai masalah berkaitan pernafasan contohnya, asma dan bronkitis akan lebih cepat merasai kesan kepada gas-gas ini," ujarnya lagi. - UTUSAN ONLINE