Sebelum ini, Ayu dilaporkan berada di bawah jagaan kerajaan Thailand manakala ibu bapanya iaitu Aminah Hitam, 47, dan suaminya, Madroseh Ramadsa, 49, pula tidak dibenarkan kembali ke negara ini.

Beberapa penduduk di Kampung Panggong Lalat, di sini mendakwa, mereka pernah beberapa kali terserempak dengan pasangan suami isteri itu selain mendapati barangan keluarga itu masih tersimpan di dalam rumah sewa mereka. Bagaimanapun kelibat Ayu tidak kelihatan.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Kadir, 57, berkata, Aminah dan Madroseh adakalanya dilihat balik secara sembunyi-sembunyi ke rumah berkenaan.

"Saya pernah ternampak ibu bapa Ayu pulang secara bersembunyi dan masuk melalui pintu dapur untuk mengambil barangan mereka. Pintu depan rumah pula dikunci rapat bagi mengaburi mata jiran kononnya mereka sudah tidak tinggal di sini," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk dikenali sebagai Limah, 40, berkata, dia terserempak dengan Aminah, minggu lalu namun tidak sempat berbual kerana wanita itu dilihat tergesa-gesa dan cuba mengelak bertemu dengannya.

"Jadi saya pun tidak tegurlah dia, sebab saya fikir mungkin dia malu dan tertekan dengan kisah perkahwinan anaknya dengan peraih getah yang menjadi buah mulut penduduk kampung," katanya.

Dua minggu lalu, Aminah ketika ditemui pemberita ketika itu berkata, dia hanya pulang ke rumah sewa mereka sementara waktu bagi mengambil semua barangan serta mengemas pakaian untuk dibawa pulang ke Thailand.

Katanya, pihak berkuasa Thailand sudah tidak lagi membenarkan dia dan suami tinggal lebih lama di negara ini.

Mengikut laporan media antarabangsa sebelum ini, Gabenor wilayah Narathiwat, Suraporn Prommool memberitahu, Ayu dihantar pulang ke Thailand dan dijaga kerajaan negara itu selepas bantahan meluas masyarakat susulan perkahwinannya dengan peraih getah terbabit.

Majlis pernikahan Ayu dan suaminya, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, didakwa diadakan di wilayah Narathiwat, Selatan Thailand pada 18 Jun lalu. - UTUSAN ONLINE