Pengarah yang juga penerbitnya, Sabera Shaik berkata, pementasan yang dibawanya itu adalah berkisarkan tentang cerita lagenda seperti Ulek Mayang yang berasal dari Terengganu, manakala Narasima dari India, dan Lagenda Qixi dari negara China.

“Jalan ceritanya adalah mengikut kisah kehidupan dan kepercayaan masing-masing,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, konsep perjalanan cerita itu adalah dengan menggunakan seni tarian asal dengan gaya bentuk badan serta teknik pencahayaan, tanpa banyak elemen sokongan lain.

“Apa yang dipaparkan ini adalah cerita yang telah ‘menghilang’. Kami bawa kenangan lampau itu dalam plot cerita me­lalui gerak tari dan ekspresi muka supaya menonton dapat memahami setiap plot yang dipersembahkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, dalam banyak seni, seni wayang yang menggunakan teknik pencahayaan serta bayang-bayang itu merupakan asal usul hiburan yang berkaitan mi­salnya wayang kulit.

“Sistem dan pengolahan yang dibawa oleh Sabera untuk mempersembahkan ‘wayang’ dalam bentuk himpunan cerita mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India sekali gus mencernakan pengembalian kepada ‘jona’ atau hiburan lama.

“Kita harus menilai itu dari sudut seni, tidak boleh diikat atau diukur mengikut kacamata produksifi yang ada pada hari ini di dunia pementasan.

“Dengan adunan cerita yang disampaikan mengikut tradisi lama dari Melayu, India dan Cina, kita faham pencernaan itu adalah menerusi seni persembahan yang berbeza daripada sinomotografi,” ujarnya.

Pementaran teater ini mendapat kerjasama Jabatan Warisan Negara dan Yayasan Warisan Negara, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negeri Sembilan dan Masakini Theatre Company.