Menurut Eksekutif Acara A'Famosa Resort, Janice Choo Shao Yee, program tersebut dianjurkan sepanjang bulan ini bermula dari pukul 6.30 petang hingga 12 malam di A'Famosa Old West.

“Kami membuka ruang pameran produk yang dicipta menggunakan bahan-bahan kitar semula bagi tujuan mendidik orang ramai berhubung perkara itu.

“Masih ada segelintir masyarakat tidak mengendahkan kepentingan mengitar semula barangan terpakai. Aktiviti itu menjadi antara usaha kami mengingatkan mereka tentang kepentingannya,” katanya kepada pemberita di A’Famosa Resort, Simpang Ampat di sini baru-baru ini.

Petugas media turut berpeluang berkunjung ke pameran tersebut yang menampilkan pelbagai rekaan menarik menggunakan bahan-bahan kitar semula.

Janice Choo berkata, pihaknya menjangkakan kira-kira 3,000 pengunjung hadir ke program tersebut.

Katanya, harga tiket yang ditawarkan adalah RM36 bagi dewasa manakala RM30 untuk kanak-kanak.