Pegawai Tadbir Agama Daerah Pontian, Mohd. Khalil Md. Nor berkata, selain itu masalah kewangan dan campur tangan keluarga serta kurangnya komunikasi antara pasangan turut menjadi punca perceraian mereka.

Beliau berkata, penggunaan media sosial yang semakin me­luas seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram menjadi faktor perhubungan mereka semakin renggang kerana leka melayari bahan tersebut.

“Masalah penceraian ini bukan sahaja melibatkan pasangan yang baharu berkahwin, malah terdapat juga yang sudah lama mendirikan rumah tangga gagal mempertahankan mahligai yang dibina.

“Bagi pasangan baharu mungkin terkejut dengan suasana alam perkahwinan yang ditempuhi, tempat pekerjaan, meninggalkan keluarga dan sebagainya,” katanya semasa ditemui pada Kursus Pra Perkahwinan Perdana di Dewan Seminar, Pejabat Agama Daerah Pontian, di sini baru-baru ini.

Kursus dua hari anjuran Pejabat Belia dan Sukan daerah, Pusat Pembangunan Belia daerah, Majlis Belia daerah dan Pertubuhan Belia Ceria Pontian itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Mohd. Khalil berkata, sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 71 kes penceraian telah didaftarkan daripada 355 kes yang dirujuk kepada pihak kaunseling.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pasangan yang akan berkahwin supaya bersedia untuk menempuh alam perkahwinan yang tentunya tidak sama seperti semasa mereka tinggal bersama-sama keluarga atau dengan rakan-rakan serumah.

Sementara itu, Ahmad me­minta pasangan yang akan berkahwin turut memberikan perhatian terhadap aspek ekonomi supaya mereka dapat melalui kehidupan dengan baik dan saling berbincang serta bersama-sama mengatasi masalah kewa­ngan yang ada dan tidak membiarkan suami atau isteri sahaja mencari jalan penyelesaian yang akhirnya membawa ke arah penceraian.

“Mereka perlu mengakui rea­liti suami isteri perlu bertolak ansur, bersedia menerima pandangan dan teguran, jujur kepada pasangan dan melupakan zaman semasa hidup bersendirian,” katanya.