Penulis turut mengambil kesempatan bersama keluarga berkunjung ke sebuah ladang burung unta iaitu PD Ostrich Show Farm di sini.

Sepanjang berada di ladang berkenaan, penulis dapat melihat dari dekat spesies burung terbesar yang dikenali dengan nama saintifik, Struthio Camelus itu selain swafoto dengan haiwan jinak itu.

Difahamkan, haiwan berbulu pelepah berketinggian sehingga tiga meter dan berat maksima 150 kilogram itu tidak boleh terbang, namun bergerak pantas dan lasak, selain mempunyai jangka hayat mencecah 50 tahun.

Ladang haiwan tersebut menempatkan kira-kira 20 ekor burung unta dan haiwan-haiwan lain seperti kambing, lembu, ayam belanda, burung merak, arnab, kucing, keldai dan unta.

Ladang yang terletak di Lot 1419, Jalan Kemang 13, Batu 9, Jalan Pantai, Port Dickson turut menganjurkan aktiviti-aktiviti menarik seperti perlumbaan burung unta. - UTUSAN ONLINE