Fikirkan sejenak. Anda de­ngan penuh yakin mengeluarkan segala bentuk kreativiti yang ada dalam kepala untuk memastikan laman web anda terhasil dengan begitu baik sekali bagi menarik para pe­ngunjung untuk datang ke bahagian ‘Hubungi Kami’ anda.

Namun apa yang mereka lakukan ialah, mereka datang seketika untuk beberapa saat dan kemudiannya keluar. Tidak sedikit pun mereka berhasrat untuk menghubungi anda. Mengapa?

* Pertama, halaman ‘Hubu­ngi Kami’ tidak diutamakan sama seperti halaman utama laman web anda. Sebenarnya penukaran status pengunjung kepada pembeli akan ditentukan di halaman ini. Sia-sia sahaja anda mempunyai laman web yang canggih tetapi tidak mampu untuk menghasilkan keuntungan dalam bentuk wang ringgit.

* Dan kedua, para pe­ngunjung tadi terus hilang minat setelah melihat halaman ‘Hubungi Kami’ anda yang meloyakan. Mereka ingin berinteraksi dengan anda tetapi halaman anda ini tidak mempunyai tempat untuk mereka mengisi pendapat dan perta­nyaan mereka.

Malah, rekabentuknya juga tidak menarik dan yang ada hanyalah alamat e-mel. Ini menggambarkan seolah-olah anda sama ada tidak berminat untuk menjadikan mereka sebagai pelanggan, tidak ikhlas ataupun tidak tahu berniaga secara dalam talian.

Sebelum saya kongsi dengan anda apa yang perlu ada pada halaman ‘Hubungi Kami’ anda, saya ingin anda faham mengapa para pengunjung laman web anda ini ke halaman tersebut.

Mereka singgah ke halaman tersebut ialah kerana mereka berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang perkhidmatan yang anda sediakan. Bagi mereka, ia amat sesuai dengan keperluan yang mereka ada sekarang.

Mereka juga berpendapat anda seorang yang boleh dipercayai dan layak untuk membantu mereka. Ini berdasarkan segala maklumat yang mereka baca daripada laman web anda dan kini mereka bersedia untuk menghubungi anda.

Mungkin juga mereka berasakan anda juga layak untuk menjadi rakan kongsi mereka untuk projek tertentu yang mereka tengah bida. Ataupun, mungkin juga mereka ingin bertanyakan tentang sesuatu kerana terdapat beberapa perkara yang kurang jelas pada laman web anda.

Selain alamat penuh dan nombor untuk dihubungi, apa lagi yang perlu anda letakkan di dalam halaman ‘Hubungi Kami’ untuk pengunjung betul-betul menghubungi anda?

Perenggan permulaan yang merujuk kembali permasalahan mereka dan mengapa perlu memilih anda. Perenggan permulaan ini amat penting. Ia perlu ditulis bagi mengulas kembali apa yang mereka telah­ baca di halaman-halaman lain dalam laman web anda. Ia perlu ditulis dengan begitu teli­ti dan mempunyai perkataan yang tidak terlalu memaksa.

Ceritakan kepada mereka de­ngan ayat yang pendek tetapi padat tentang mengapa mereka perlu memilih anda dan bukan orang lain bagi menyelesaikan masalah yang mereka alami sekarang.

* Borang Maklum balas.

Sediakan borang yang mudah tetapi lengkap untuk mereka isi. Jangan terlalu panjang, cukup untuk mereka lakukannya dalam masa tidak sampai 10-15 saat. Jangan tiru seperti orang lain yang hanya meletakkan alamat e-mel mereka sahaja.

Apakah yang perlu anda minta daripada para pengunjung tadi? Mudah sahaja, anda cuma perlukan nama penuh mereka, alamat e-mel mereka, di mana lokasi mereka dan apakah maklum balas yang mereka ingin sampaikan kepada anda. Itu sahaja.

Setelah semuanya lancar, pastikan setelah kesemua kotak ini diisi dan mereka menekan butang ‘Hantar’, anda akan menerima maklum balas yang ditulis tadi di dalam e-mel anda dengan serta-merta.

Ikon bintang yang jelas, sebagai tanda semua kotak wajib diisi. Memandangkan anda hanya mempunyai empat sahaja kotak yang perlu mereka isi, anda perlu mempunyai ikon bintang pada setiap kotak. Ini membawa maksud kesemua kotak wajib diisi de­ngan maklum balas mereka dan tidak boleh kosong.

* Butang Ikuti Kami Diiringi Oleh Ikon Media Sosial.

Ini juga penting walaupun ia nampak remeh. Ada sesete­ngah pengunjung lebih gemar untuk mengikuti anda di media sosial daripada mengisi borang maklum balas tadi. Gunakan peluang ini untuk pastikan mereka tidak akan keluar daripada laman web anda dengan tidak mengikuti anda langsung.

* Butang Perbualan atau Chat.

Ada juga pengunjung, ter­utamanya golongan muda yang gemar berbual secara langsung melalui kotak chatting, maka anda juga harus pertimbangkan untuk memasukkan ciri ini ke dalam halaman ‘Hubungi Kami’ anda itu.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti panda­ngan beliau di azleen.com